Kontroversi KPPA: Jawatankuasa ditubuh, bersidang secepat mungkin - KSN

Hasimi Muhamad
Ogos 7, 2022 16:32 MYT
Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata jawatankuasa tersebut yang dipengerusikan oleh Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dijadual bersidang secepat mungkin. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Sebuah jawatankuasa ditubuhkan bagi menyiasat isu Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah, yang didakwa melemparkan kata-kata kasar terhadap pegawai Jabatan Imigresen (JIM) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Rabu lalu.
Dalam satu kenyataan, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata jawatankuasa tersebut yang dipengerusikan oleh Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dijadual bersidang secepat mungkin.
"Jawatankuasa ini bertanggungjawab untuk mengendalikan siasatan secara terperinci bagi memberi pengadilan sewajarnya kepada kedua-dua pihak.
"Hasil dan syor siasatan akan dibentangkan kepada YAB Perdana Menteri untuk pertimbangan selanjutnya," katanya dalam kenyataan tersebut pada Ahad.
Jelas Mohd Zuki, jawatankuasa itu akan turut dianggota oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani; Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid (Ketua Audit Negara); serta Tan Sri Azam Baki
(Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia).
Kontroversi KPPA | PM arah KSN tubuh jawatankuasa khas siasatan segera
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan Mohd Zuki menubuhkan jawatankuasa bagi menyiasat isu tersebut.
Pada Rabu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin, mengesahkan kejadian yang tular membabitkan pegawai tertinggi kerajaan dengan seorang pegawai imigresen di KLIA.
Bagaimanapun, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam satu kenyataan menafikan Ketua Pengarahnya mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang Pegawai Kanan Imigresen di KLIA, dan
memandang serius perkara itu serta menegaskan segala pertuduhan terhadap KPPA itu adalah tidak berasas.
#Jawatankuasa tubuh siasat JKKA #JKKA tular #Perdana Menteri #JPA nafi JKKA tengking
;