Kontraktor wanita mengaku tidak bersalah tipu pelaburan RM202,430
Astro Awani
September 14, 2022 14:41 MYT
September 14, 2022 14:41 MYT
ALOR SETAR: Seorang kontraktor wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Alor Setar hari ini atas pertuduhan menipu rakannya dengan tawaran pelaburan kotak pembungkusan barangan tidak wujud membabitkan kerugian RM202,430, dari Oktober 2018 hingga Februari 2019.
Zahanim Jaafar, 49, membuat pengakuan itu ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan di depan Majistret Nurshahida Abdul Rahim.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu ke atas Aida Husna Ismail, 36, di Pinggiran 8 Belleza Garden Home, Kolej Height Utara, Jitra pada 25 Oktober 2018 hingga 17 Febuari 2019 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum setahun maksimum 10 tahun serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Mengikut pertuduhan dia didakwa memperdaya Aida sehingga mendorong mangsa membuat 44 transaksi pindahan wang ke dalam tiga akaun berbeza yang diberikan tertuduh berjumlah RM202,430.
Timbalan Pendakwa Raya Nur Fatin Mastura menawarkan ikat jamin RM6,000, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon dikurangkan kerana tiada pekerjaan ketika ini.
Nurshahida bagaimanapun menetapkan jaminan RM3,000.
Mahkamah menetapkan 2 Oktober depan untuk sebutan semula kes.