Kontraktor TM maut dilanggar pemandu mabuk

Dewi Nur Harasha Alias
April 4, 2018 01:32 MYT
Rempuhan kuat menyebabkan mangsa terjatuh ke dalam lubang dan meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala. - Foto Ihsan pembaca
Seorang kontraktor penyelenggaraan Telekom Malaysia (TM) yang sedang melakukan kerja-kerja pemasangan kabel bawah tanah maut manakala dua yang lain cedera dilanggar kereta dalam kejadian di Jalan Burma, George Town kira- kira jam 1.30 pagi tadi.
Mangsa Omar Osman, 40, dari Kampung Sungai Mati, Langgar, Kedah meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar memaklumkan ketika kejadian mangsa bersama dua lagi pekerja berada di kawasan itu sebelum sebuah kereta yang dipandu laju secara tiba-tiba melanggar mereka.
Rempuhan kuat itu menyebabkan mangsa terjatuh ke dalam lubang dan meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala.
Siasatan awal mendapati kereta yang dipandu lelaki berusia 40 tahun itu, datang dari arah Jalan Gottlieb menghala ke pusat bandar dengan melalui Jalan Burma.
Hasil siasatan mendapati pemandu dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol telah melanggar kon dan papan tanda besi pembinaan penyelenggaraan TM.
Mangsa ketika itu sedang melakukan kerja-kerja penyelenggaraan kabel bawah tanah di tengah jalan berkenaan.
Pemandu kereta tidak mengalami kecederaan dan ditahan polis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) APJ 1987.
#Asisten Komisioner Anuar Omar #George Town #isu semasa #Jalan Burma #Ketua Polis Daerah Timur Laut #Kontraktor #mabuk #meninggal dunia #Omar Osman #pemandu mabuk #TM