Kontraktor terlepas hukuman gantung

Sinar Harian
April 11, 2023 04:25 MYT
Kontraktor perabot Wong Shee Kang, 53, terlepas hukuman gantung selepas dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi hari ini atas pertuduhan mengedar dan memiliki dadah lima tahun lalu. - Foto BERNAMA
JOHOR BAHRU: Seorang kontraktor perabot terlepas daripada hukuman gantung mandatori atas pertuduhan memiliki dan mengedar dadah jenis heroin dan ketamin, lima tahun lalu.
Hakim Mahkamah Tinggi, Noor Hayati Mat membuat keputusan berkenaan setelah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Wong Shee Kay, 53, di akhir kes pendakwaan berkenaan.
Bagi pertuduhan pertama, Shee Kay didakwa memiliki dadah jenis heroin seberat 7810.47 gram di hadapan sebuah rumah di Taman Desa Cemerlang di sini, sekitar 3.30 pagi, 30 Oktober 2018 lalu.
Oleh itu, Shee Kay boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(1)(a), Akta Dadah Berbahaya (ADB), 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2), akta yang sama.
Bagi pertuduhan kedua, Shee Kay didakwa memiliki dadah jenis ketamin seberat 19,446.92 gram di lokasi, tarikh dan masa yang sama.
Oleh itu, Shee Kay boleh dihukum di bawah Seksyen 12(2), Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12 (3) akta yang sama dan denda tidak lebih RM100, 000 atau penjara tak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Shee Kay bagaimanapun dilepaskan dan dibebaskan daripada dua pertuduhan berkenaan tanpa perlu membela diri.
Dalam alasan penghakimannya, Noor Hayati menyatakan bahawa hasil penilaian daripada semua keterangan dikemukakan di mahkamah, tiada bukti atau fakta relevan bagi mengaitkan tertuduh dengan dadah ditemui.
"Dadah itu ditemui dalam bonet kereta Toyota Camry milik kakak tertuduh, walaupun tertuduh mempunyai kunci serta remote control (alat kawalan jauh), namun ia tidak boleh digunakan untuk membuka but kereta itu.
"But kereta itu perlu diumpil dan tertuduh juga bukan pemilik kereta berkenaan.
*Selain itu, jarak antara kereta tersebut ditemui dan tertuduh ditahan juga agak jauh, memakan masa hampir 30 minit.
"Tiada keterangan yang menunjukkan tertuduh berada di Jalan Saga 16 iaitu tempat kereta ditemui di hadapan sebuah rumah.
"Selepas meneliti nota prosiding yang dihujahkan oleh kedua-dua pihak, secara maksimum mahkamah berpendapat bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.
"Oleh itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa perlu membela diri," hujahnya.
Seramai 10 saksi pendakwaan dikemukakan sepanjang prosiding perbicaraan yang dijalankan sejak setahun lalu.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nasrudin Mohamed, manakala tertuduh diwakili Peguam Mohd Daud Ismail dan Hang Lee Ying. -- Sinar Harian
#hukuman gantung #kontraktor perabot #edar dadah #Johor Bahru