Kontraktor tempatan berdepan isu kenaikan harga bahan mentah, kekurangan pekerja

Dagang News
April 14, 2022 06:30 MYT
Dijangka akan berlaku kelewatan kemajuan kerja selain kesukaran untuk mendapatkan projek baharu akibat kenaikan kos bahan mentah. - Gambar hiasan/Dagang News
KUALA LUMPUR: Kontraktor tempatan dijangka terus berdepan masalah kenaikan harga bahan mentah dan kekurangan tenaga kerja meskipun selepas pembukaan sempadan negara pada 1 April 2022.
RHB Research berkata, permohonan daripada majikan perlu melalui tapisan jawatankuasa di dalam Kementerian Dalam Negeri bagi menentukan jumlah pekerja asing yang layak untuk bekerja dan ia dilihat akan mendorong kepada kekurangan tenaga pekerja serta kelewatan kerja-kerja pembinaan.
Firma penyelidikan berkata, kenaikan harga purata barangan mentah juga semakin dirasai dengan batang keluli naik sebanyak 21% dari tahun ke tahun mencecah RM3,411.75 bagi satu tan untuk Mac 2022 mengatasi harga tertinggi RM3,255 satu tan pada Julai 2021.
"Kontraktor berkemungkinan akan menyemak semula harga mereka selaras dengan kenaikan harga bahan mentah di dalam tender baharu yang mendorong kepada keperluan modal kerja yang lebih tinggi dan menyebabkan kos pembiayaan lebih tinggi.
"Kami juga menjangkakan berlakunya kelewatan kemajuan kerja selain kesukaran untuk mendapatkan projek baharu akibat kenaikan kos bahan mentah," katanya dalam satu nota kajian, pada Khamis.
Firma penyelidikan itu juga menjangkakan pasaran akan menjadi semakin tidak stabil kerana pihaknya percaya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan berlaku pada 2022.
"Berdasarkan kepada tiga siri pilihan raya sebelum ini, Indeks KLCON dilihat didapati berprestasi rendah dalam tempoh enam bulan sebelum hari pengundian," katanya.
Firma penyelidikan itu memilih syarikat small-cap dan mid-cap seperti Kerjaya Prospek dan MGB kerana percaya mereka memiliki pemangking untuk berhadapan risiko jangka pendek yang disokong oleh tempahan yang stabil dan penyata imbangan yang stabil. - DagangNews.com
#Kontraktor #bahan mentah #kenaikan harga #kekurangan pekerja
;