Kontraktor rugi RM260,000 ditipu skim pelaburan tidak wujud
Bernama
November 18, 2024 18:45 MYT
November 18, 2024 18:45 MYT
CHUKAI: Seorang kontraktor mengalami kerugian RM260,000 selepas diperdaya skim pelaburan tidak wujud menerusi aplikasi WhatsApp.
Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Hanyan Ramlan berkata lelaki berusia 39 tahun itu telah dihubungi individu tidak dikenali pada 6 Nov lepas, yang menawarkan pelaburan dengan pulangan lumayan.
Beliau berkata kontraktor itu bersetuju membuat sejumlah pelaburan, dan pada awalnya mendapat pulangan seperti yang dijanjikan, menyebabkan dia semakin yakin dan berani membuat pelaburan seterusnya.
"Dalam tempoh 10 Nov hingga 15 Nov lepas, lelaki itu telah membuat 11 transaksi ke empat akaun berlainan seperti diarahkan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Hanyan berkata kontraktor itu mula curiga dengan skim tersebut selepas tidak lagi menerima keuntungan yang dijanjikan, dan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman petang semalam.
-- BERNAMA