Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata ini susulan kerajaan telah memberikan tempoh lanjutan yang lama sebelum ini, namun pihak kontraktor tetap gagal mematuhi tempoh diberikan itu.
"Setakat ini, memang ada projek JENDELA belum siap, paling serius di Sabah dan Sarawak. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang mengkaji sama ada mereka boleh dikenakan denda atas kelewatan ini.
"Tindakan ini kerana kita rasa bahawa memang lanjutan masa cukup panjang telah kita bagi, jadi saya rasa ia tidak adil terhadap pengguna di kawasan itu yang masih menunggu perkhidmatan berkenaan," katanya ketika ditemui pemberita pada Program Saringan Kesihatan Parlimen Kulai di sini hari ini.
Beliau berkata MCMC juga sedang meneliti pelaksanaan projek JENDELA fasa dua yang bakal menggunakan teknologi terkini supaya masalah dihadapi pada fasa satu termasuk isu kelewatan tidak lagi berulang.
Pada 19 Julai lepas, Teo dilapor berkata projek di Sabah dan Sarawak dimulakan pada 2022 dan sepatutnya siap dalam tempoh 18 bulan, namun tergendala ekoran masalah tapak serta kontraktor yang tidak dapat menyiapkan projek dalam masa ditetapkan.
Sementara itu, beliau berkata Kementerian Komunikasi sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk memastikan maklumat kesihatan yang tepat dapat disampaikan kepada masyarakat khususnya melibatkan kes jangkitan cacar monyet atau Mpox.
"Setiap kali ada penyakit baharu, ia akan menjadi sesuatu yang tular dan mereka akan pakai gambar yang bukan-bukan selain mendakwa ini adalah kes pertama di Malaysia. Sangat penting masyarakat perlu celik digital dan celik media.
"Jika memang benar didapati ada kes di negara ini, pastinya KKM akan buat pengumuman dan tiada sebab KKM nak sembunyikan kes kerana ini adalah isu kesihatan awam," katanya.
Pada 15 Ogos lepas, KKM mengesahkan tiada kes baharu Mpox dilaporkan dalam negara meskipun berlaku peningkatan kes penyakit itu di rantau Afrika baru-baru ini.
Mengenai Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia, Teo berharap perkara itu dapat dibawa ke Parlimen seperti yang dijadual pada Oktober ini.
"Saya harap apabila Majlis Media ini diwujudkan, ia akan dapat membantu kerajaan mendidik masyarakat agar pihak yang ada sebarang isu berkaitan dengan media boleh merujuk dengan majlis media berkenaan untuk melihat sama ada ia beretika atau tidak," katanya.
-- BERNAMA