Kontraktor projek ECRL mulakan kerja pemasangan sistem
Bernama
Mei 9, 2024 19:38 MYT
Mei 9, 2024 19:38 MYT
KUALA LUMPUR: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) memulakan kerja pemasangan sistemnya yang menandakan fasa akhir pembinaan sebelum memasuki peringkat pengujian dan pengoperasian.
Kontraktor projek ECRL, China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC-ECRL) dalam satu kenyataan hari ini berkata kerja pemasangan sistem itu merangkumi pembinaan sistem pengelektrikan, sistem kawalan daya tarikan, sistem katenari, isyarat, dan telekomunikasi.
"Semua komponen ini membentuk infrastruktur teras untuk pengangkutan rel moden, memastikan keselamatan, kecekapan dan kebergantungan terjamin," kata syarikat itu.
Pengarah urusan CCC-ECRL Kong Qi berkata, ini menandakan kemajuan penting dalam infrastruktur pengangkutan rel moden dan pencapaian besar untuk projek ECRL.
"Kami yakin dengan pembangunan pada masa depan dan berharap dapat menyediakan sistem pengangkutan rel yang lebih selamat, lebih cekap dan lebih memudahkan ke Pantai Timur Malaysia," katanya.
Projek ECRL adalah kerjasama ekonomi dan perdagangan terbesar antara China dan Malaysia yang juga merupakan projek utama untuk inisiatif jalur dan laluan (BRI).
Sehingga April 2024, kemajuan pembinaan ECRL telah mencapai 65 peratus dengan jajaran merentasi negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, dan Selangor.
-- BERNAMA