Kontraktor perlu siapkan segera projek penting untuk rakyat - MB
Aida Aziz
Disember 23, 2021 08:20 MYT
Disember 23, 2021 08:20 MYT
IPOH: Para kontraktor yang sudah mendapat tender bagi projek berkepentingan awam digesa menyiapkan projek tersebut demi manfaat kepada rakyat negeri ini.
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, projek penting itu membabitkan projek pembinaan seperti sekolah atau hospital.
"Mana-mana individu yang telah diberi peluang untuk membuat kerja ini (projek pembinaan) tolong siapkan, jaga kualitinya dan menepati masa.
"Contohnya, projek besar seperti buat sekolah. Kadang-kadang projek sakit (lewat siap) ini, dia (kontraktor) menang tender, jadi kita tidak boleh merungut.
"Cuma apabila dia tak perform, ada sesetengah itu satu atau dua tahun tertangguh (projek). Kata nak buat sekolah.
"Ada sebuah sekolah di Kerian, bertahun-tahun lamanya kita berjuang untuk dapatkan sekolah itu. Sudah dapat peruntukan. tetapi kontraktor tak siapkan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Majlis Makan Malam dan Perasmian Masyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) ke-42, di sini semalam.
Hadir sama Presiden PKMM, Datuk Seri Mohamed Fadzill Hassan dan Setiausaha Agung PKMM, Datuk Wira Jamaludin Abdul Rahim.
Justeru, Saarani menasihatkan kontraktor yang dilantik menjalankan amanah dan tanggungjawab itu sebaiknya.
"Jadi, apabila jadi begitu (tertangguh), nama kontraktor tak baik dan yang teraniaya ialah para pelajar, yang kita sudah kenal pasti, bersekolah di mana.
"Maknanya, mana-mana projek yang melibatkan kepentingan awam seperti sekolah dan hospital.
"Hospital di Parit Buntar, punya lama (siap). Kita suka apabila dapat peruntukan dan kontraktor menang tender, cuma kita minta supaya mereka tunjuk prestasi baik," katanya lagi.
Terdahulu, dalam ucapannya Saarani berharap PKMM mendapat manfaat susulan keadaan ekonomi yang sudah memasuki fasa pemulihan.
Ia termasuk pelaksanaan dan projek-projek infrastruktur baharu atau yang disambung semula selepas ditangguhkan akibat pandemik COVID-19 sebelum ini.
Dalam pada itu, Jamaludin berkata PKMM akan menubuhkan tabung di setiap negeri bagi membantu ahli-ahlinya yang terkesan banjir.
Katanya, PKMM juga tidak terkecuali akan membantu masyarakat setempat di negeri yang ditimpa bencana itu.
"Kita telah tubuhkan tabung di setiap negeri dan bersedia untuk membantu ahli-ahli dan masyarakat. Sebelum ini pun kita sudah laksanakan bantuan seperti ini," katanya.