Kontraktor mengaku perdaya guru bina rumah banglo

Sinar Harian
April 25, 2023 13:20 MYT
Zahidir (tengah) diiring polis ketika dtiba di mahkamah. - Foto Sinar Harian
SEREMBAN: Seorang kontraktor mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas pertuduhan memperdayakan seorang guru berhubung pembinaan rumah banglo yang mengakibatkan kerugian RM56,400 tahun lalu.
Zahidir Zainul, 35, membuat pengakuan itu dihadapan Majistret V Vanita selepas kertas pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang mengaku diri sebagai kontraktor binaan rumah memperdaya seorang lelaki berusia 42 tahun dengan mendorongnya membuat pembayaran sebanyak RM56,400 bagi tujuan membina rumah.
Tertuduh telah menyakinan mangsa rumah akan siap dalam tempoh singkat tetapi ia adalah tidak benar.
Kesalahan itu dilakukan antara 26 Oktober 2022 hingga 22 Disember 2022 di Jalan D'Areca 2,Taman Bandar Senawang di Seremban.
Berikutan itu tertuduh didakwa di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dihukum penjara boleh sampai lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Jiwan Kaur menawarkan jaminan RM8,000.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Lee Boon Shian merayu tertuduh diberi jaminan rendah atas alasan dia bekerja sendiri sebagai kontraktor yang pendapatannya tidak tetap selain perlu menanggung seorang anak.
Selain itu tertuduh turut mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan pecah rumah dengan mencuri seutas rantai beserta loket emas di Taman Penanga Mewah, Seremban pada 3 April 2023, jam 5.45 petang.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan bagi setiap pertuduhan RM5,000 dan sebutan semula bagi kedua-dua kes untuk dibacakan fakta dan hukuman pada 25 Mei depan. - Sinar Harian
#perdaya guru #rumah banglo #Kontraktor #Zahidir Zainul
;