Kontraktor guna traktor bantu mangsa banjir setiap kali bencana menimpa
Bernama
Januari 25, 2023 08:15 MYT
Januari 25, 2023 08:15 MYT
SEGAMAT: Setiap kali berlakunya banjir di kawasan Segamat, seorang kontraktor akan menggunakan traktor miliknya untuk membantu masyarakat sekitar daerah itu, yang terjejas banjir untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Roslan Ahmad, 48, yang juga penduduk Kampung Sungai Gatom bukan sahaja sering menjadi individu penting setiap kali bencana tersebut menimpa, tetapi beliau juga dikenali kerana aktif dalam pengurusan van jenazah secara percuma selain menjaga anak angkat.
Dia mula membantu anggota masyarakat sejak 2018, selepas membantu jirannya sekeluarga yang terperangkap banjir yang ketika itu sedang menunggu untuk diselamatkan.
"Ketika itu keadaan banjir di rumah jiran telah berada di paras pinggang. Atas dasar kemanusiaan, saya mengambil traktor dan membantu mereka keluar dari kawasan banjir dan menghantar mereka ke PPS berhampiran.
"Semenjak peristiwa itulah, saya akan menggunakan traktor untuk membantu mangsa banjir di kawasan ini, terutamanya wanita dan kanak-kanak," katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Sungai Gatom, di sini, semalam.
Jelas Roslan lagi, beliau juga sempat membantu memindahkan kira-kira 40 mangsa di sekitar Kampung Sungai Gatom dan Kampung Usaha Jaya ke PPS Dewan Kampung Sungai Gatom, selepas hujan turun tidak berhenti di daerah itu sejak awal pagi semalam.
"Usaha memindahkan mangsa banjir di kedua-dua kampung ini bermula pukul 9 pagi lagi dan berakhir kira-kira pukul 2 petang," katanya.
Meskipun sedikit letih, dia merasa lega kerana usaha sukarela itu telah berjaya membantu mereka yang berada dalam kesusahan.
Sementara itu, menerusi tinjauan Bernama di beberapa lokasi banjir di sekitar Segamat sehingga pukul 4 petang semalam mendapati, kebanyakan lokasi yang terjejas terletak berhampiran sungai.
Selain itu, beberapa jalan di daerah berkenaan itu juga dinaiki air seperti Jalan Labis-Yong Peng, namun masih boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan.
Setakat 4 petang semalam, empat sungai di Johor telah melepasi paras berbahaya dengan trend menaik, iaitu Sungai Muar (muara Sungai Gemas) berada di paras 19.04 meter (m), Sungai Lenik (Ladang Chaah) di paras 6.4m, Sungai Segamat (Segamat Kecil) di paras 37.97m dan Sungai Kahang (Kampung Contoh) di paras 14.41m.
Segamat menjadi daerah paling ramai terjejas banjir kini dengan 975 mangsa.
-- BERNAMA