Kontraktor dihadap ke mahkamah atas pertuduhan bunuh bekas pelumba Cub Prix negara

Adie Sufian Zulkefli
September 23, 2024 12:00 MYT
Tertuduh, Ibrahim Johan dibawa ke Mahkamah Majistret Kangar hari ini. Gambar kecil: Elly Idzlianizar Ilias.
KANGAR: Seorang kontraktor dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas tuduhan membunuh bekas pelumba Moto3 dan Cub Prix negara, Elly Idzlianizar Ilias.
Tertuduh, Ibrahim Johan, 51, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Ana Rozana Mohd Noor.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kerana kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, Ibrahim didakwa membunuh Elly Idzlianizar Ilias, 40, di simpang tiga Taman Behor Gonchar Jaya, di sini, antara 10.30 malam, 10 September 2024 hingga 12.01 pagi, 11 September 2024.
Bagi kesalahan itu kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.
Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nabilah Ahmad Po’ad manakala tertuduh diwakili peguam Tan Yen Sing.
Mahkamah menetapkan 30 Disember depan bagi serahan laporan bedah siasat, kimia dan forensik.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin memandangkan kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
#bekas pelumba Moto3 #kes bunuh #Elly Idzlianizar Ilias #terkini #bekas pelumba Cub Prix
;