Kontraktor didakwa cederakan isteri
Bernama
Mac 29, 2017 15:44 MYT
Mac 29, 2017 15:44 MYT
Seorang kontraktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya lima hari lalu.
Muhammad Izhan Abdul Halim, 28, didakwa dengan sengaja telah mendatangkan kecederaan terhadap isterinya Wan Nasuha Wan Abd Rashid, 29 yang merupakan suri rumah, dengan cara menendang pinggang dan menampar kepala wanita itu di kediaman mereka di Puchong Prima, Puchong, di sini pada 9 malam, 24 Mac lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Tertuduh juga boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara dua kali ganda dari hukuman asal bagi seksyen yang berkenaan.
Timbalan Pendakwa Raya Mary Phoon Keat Mee tidak menawarkan sebarang jaminan bagaimanapun bapa dua anak yang tidak diwakili peguam itu merayu dibenarkan jaminan yang rendah atas alasan dia penanggung utama keluarga dan tidak mampu membayar jumlah yang tinggi.
Majistret Salamiah Salleh membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tidak boleh mengganggu mangsa dengan apa-apa cara sekalipun atau jaminan dibatalkan serta-merta.
Mahkamah menetapkan 2 Mei untuk sebutan semula kes.
-- BERNAMA