Kontraktor didakwa atas tuduhan edar 10kg dadah

Abd Razak Mohd Ali
Julai 28, 2022 11:48 MYT
Yip Simon dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh hari ini untuk berdepan tuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat 10.356kg. - Foto Astro AWANI
IPOH: Seorang kontraktor didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan mengedar 10 kilogram (kg) dadah, minggu lepas.
Tertuduh, Yip Simon, 35 tahun, mengangguk faham apabila tuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus, namun tiada pengakuan direkodkan.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat 10.356kg.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan tempat letak kereta, pusat makanan Gunung Rapat Enam Enam, Jalan Raja Musa Mahadi, di sini, lebih kurang 4.40 petang, 21 Julai lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mandatori gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 11 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk penyerahan laporan kimia.
Tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh.
Tertuduh dibenarkan membuat laporan polis yang didakwa peguamnya boleh digunakan dalam mahkamah.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sufi Aiman Azmi manakala tertuduh diwakili peguam J Matthews.
Ketika ditemui di luar mahkamah, Matthews berkata, isteri tertuduh dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.
Pada 21 Julai lalu, polis menahan sepasang suami isteri dan merampas dadah jenis methamphetamine seberat lebih 20 kilogram di dua lokasi di Ipoh.
#Mahkamah Majistret #Kontraktor #Dadah #methamphetamine