Alif Khan, 35, yang bekerja sebagai kontraktor membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menerima rasuah RM2,000 daripada seorang wanita Indonesia, sebagai dorongan untuk membantu menyah senarai hitam Imigresen membabitkan dirinya.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di perkarangan luar sebuah hotel di George Town, antara jam 9.20 hingga 9.45 malam pada 17 Oktober lepas.
Bagi kesalahan itu, tertuduh yang masih bujang didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009 dan boleh dihukum Seksyen 24 akta sama.
Jika sabit kesalahan tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Afiqa Liyana Rozman manakala tertuduh diwakili peguam Lim Sheng Zhe.
Semasa prosiding, Afiqa tidak menawarkan sebarang jaminan dengan alasan tertuduh rakyat asing serta kesalahan dilakukan adalah serius.
Selain itu, katanya tertuduh juga berkemungkinan terlibat dengan sindiket kemasukan warga asing dan dikhuatiri akan melarikan diri ke negara asal atau ke negara lain termasuk mempengaruhi saksi kes tersebut.
Tertuduh juga tidak mempunyai tempat tinggal tetap dan hanya menyewa di Bayan Lepas selain tidak mempunyai ahli keluarga di sini.
Bagaimanapun peguam tertuduh memohon agar anak guamnya diberikan jaminan munasabah dengan alasan dia mempunyai permit kerja dan pasport sah termasuk memberikan kerjasama yang baik kepada SPRM.
Bagaimanapun, Hakim Zulhasmi tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 20 November depan untuk sebutan semula kes.
Media sebelum ini melaporkan SPRM menahan seorang lelaki warga Bangladesh dan dua pegawai agensi penguat kuasa yang dipercayai terlibat dengan kes mengatur kemasukan warga asing menerusi laluan kaunter khas di LTAPP.
Warga Bangladesh terbabit ditahan selepas dia menerima wang kira-kira RM2,000 daripada seorang wanita warga Indonesia.