Kontraktor, anak direman babitkan tuntutan palsu RM50,000
Adie Sufian Zulkefli
Julai 21, 2020 13:43 MYT
Julai 21, 2020 13:43 MYT
Seorang kontraktor bersama anaknya direman bagi membantu siasatan membabitkan tuntutan palsu dianggarkan bernilai RM50,000.
Perintah reman terhadap kontraktor terbabit dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Alor Setar, Rashidah Azmi, selama tujuh hari bermula hari ini hingga 27 Julai.
Sementara anaknya yang merupakan pengurus syarikat turut direman tujuh hari bermula semalam sehingga 26 Julai selepas mendapat kebenaran Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Alor Setar, Noor Lyana Ab Rahim.
Kedua-dua suspek berusia 27 dan 48 tahun ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Terdahulu, suspek berusia 48 tahun diiringi pegawai dan anggota SPRM tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Alor Setar, sekitar pukul 10 pagi.
Difahamkan, anak suspek ditahan di Pejabat SPRM negeri antara jam 12.12 tengah hari Ahad manakala bapanya ditahan pada jam 7.35 malam Isnin.
Dua beranak ini dipercayai berpakat membuat tuntuan palsu untuk bayaran pembelian dan penyelenggaraan kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah kem tentera di negeri ini.
Mereka dikatakan melakukan kesalahan itu pada November 2017.
#anak
#direman
#kamera litar tertutup
#kem tentera
#Kontraktor
#Mahkamah Majistret Alor Setar
#Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
#tuntutan palsu