Kontrak sambung bayar kenderaan tidak sah - KPDN

Sinar Harian
Mei 20, 2023 15:06 MYT
Azman (Gambar kecil: Laporan Sinar Ahad pada 14 Mei lalu)
SHAH ALAM: Sebarang kontrak yang ditandatangani bagi tujuan sambung bayar kenderaan adalah tidak sah.
Ketua Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam berkata, di bawah perjanjian sewa beli yang dimeterai antara pemunya dengan penyewa, terdapat satu syarat di mana penyewa tidak boleh menjual kenderaan tersebut tanpa kebenaran pemunya dan ia merupakan suatu kesalahan di bawah Akta Sewa Beli 1967 iaitu memfraud pemunya.
Bagaimanapun, katanya, penyerahan hak-hak di bawah perjanjian sewa beli adalah dibenarkan di bawah Seksyen 12 Akta Sewa Beli 1967 dengan kebenaran pemunya.
“Sekiranya penyewa berniat untuk menyerahkan haknya ke atas kenderaan di bawah perjanjian sewa beli, penyewa terbabit hendaklah merujuk dan memaklumkan niatnya kepada pihak pemunya bagi mendapatkan kebenaran serta kelulusan pemunya.
“Seterusnya jika pemunya bersetuju, perjanjian sewa beli di atas nama penyewa tidak akan ditamatkan tetapi dokumen ‘assignment’ disediakan oleh bank untuk ditandatangani oleh penyewa asal, bank dan penyambung bayar dengan mengekalkan hak serta liabiliti penyewa asal sepanjang tempoh assignment berkuat kuasa dengan syarat penyambung bayar tiada dalam senarai hitam institusi kewangan,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, istilah ‘sambung bayar’ disifatkan sebagai penyerahan hak milik kenderaan dan kepentingan penyewa kepada mana-mana orang tanpa kebenaran serta kelulusan pemunya (institusi kewangan) di dalam satu perjanjian sewa beli yang masih berkuat kuasa.
Menurut Azman, pada kebiasaannya aktiviti sambung bayar ini berlaku di luar pengetahuan pemunya (institusi kewangan) di mana penyewa akan membuat rundingan secara terus bersama pihak penyambung bayar akan niatnya untuk ‘menjual’ kenderaan yang masih tertakluk di bawah suatu perjanjian sewa beli.
“Penyambung bayar pula hanya perlu menyediakan bayaran pendahuluan yang kecil dan menyambung bayaran ansuran bulanan kepada pemunya bagi pihak penyewa.
“Kebiasaannya, persetujuan antara penyewa dengan pihak penyambung bayar akan dimeterai melalui suatu kontrak bertulis atau berjabat tangan sahaja,” ujarnya.
Tambahnya, antara sebab berlakunya aktiviti sambung bayar adalah penyewa tidak mampu untuk membayar ansuran bulanan, penyambung bayar dalam senarai hitam institusi kewangan, penyambung bayar tidak perlu menyediakan wang pendahuluan yang banyak selain proses pembelian kenderaan yang mudah.
Dalam pada itu, beliau berkata, antara kesan pembelian kereta sambung bayar ialah menyukarkan institusi kewangan untuk mengesan kenderaan jika pihak penyambung bayar gagal membayar ansuran bulanan kenderaan.
“Selain itu, penyewa telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 38 Akta Sewa beli 1967 dan boleh didenda tidak melebihi RM30,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
“Ini juga berkemungkinan mengakibatkan berlaku penipuan sekiranya pihak penyambung bayar gagal membuat bayaran ansuran kepada institusi kewangan seperti yang telah dipersetujui dan boleh menyebabkan nama penyewa disenarai hitamkan,” katanya.
Azman berkata, kesan lain antaranya menerima saman di atas kesalahan-kesalahan yang tidak dilakukan dan boleh disabitkan dengan aktiviti jenayah yang dilakukan oleh pihak penyambung bayar.
14 Mei lalu, Sinar Harian secara eksklusif melaporkan penjual kereta terpakai kini didapati menggunakan taktik baharu untuk menjual kereta menerusi skim sambung bayar kepada orang ramai.
Menerusi penyamaran yang dilakukan oleh wartawan Sinar Harian mendapati, salah seorang penjual terbabit telah memperkenal skim sewa beli kenderaan kepada orang ramai.
Tanpa memerlukan sebarang dokumen sokongan, individu yang ingin memiliki kenderaan terbabit hanya perlu membayar deposit serendah RM35,000.
Skim terbabit menjadi pilihan para pembeli yang sukar untuk mendapatkan pinjaman bank kerana tidak layak akibat disenarai hitam ataupun muflis. -Sinar Harian
#Kontrak sambung bayar #Azman Adam #kpdn #Akta Sewa Beli 1967
;