Kontena mengandungi peralatan radar tentera tidak hilang - LPJ
Bernama
Jun 29, 2017 22:13 MYT
Jun 29, 2017 22:13 MYT
Kontena mengandungi peralatan radar tentera berteknologi tinggi tidak hilang malah kontena tersebut sentiasa di dalam kawalan rapi semasa berada di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di sini.
Menegaskan demikian, Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) Muhammad Razif Ahmad berkata kontena terbabit yang terletak di bawah kawalan pihak PTP dan agensi kerajaan lain, kemudian dimuatkan ke atas kapal Emma Maersk pada 3 Jun lepas untuk dihantar ke Netherlands.
Kontena itu telahpun selamat sampai di destinasi iaitu Pelabuhan Rotterdam, katanya.
"LPJ ingin menjelaskan berkaitan laporan akhbar yang menyebut kehilangan sebuah kontena yang mengandungi peralatan tentera berteknologi tinggi di PTP.
"Pihak LPJ menafikan laporan tersebut dan ingin menjelaskan bahawa kontena yang mengandungi peralatan radar tentera berteknologi tinggi yang dilaporkan, sebenarnya tidak hilang semasa 'transhipment' di PTP," kata Muhammad Razif menerusi kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata sepanjang kontena tersebut berada dalam transhipment di PTP, pihak PTP telah bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan lain khususnya Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang pada masa sama sedang mempertingkatkan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) dalaman berhubung pemakaian Akta Perdagangan Strategik (STA) 2010.
Akhbar tempatan berbahasa Inggeris hari ini melaporkan kontena itu yang tiba dari Australia bulan lepas yang mengandungi peralatan radar tentera berteknologi tinggi bernilai jutaan ringgit hilang ketika transit di PTP.
Laporan akhbar itu yang memetik sumber berkata, barang terbabit sepatutnya di hantar ke Belanda (Netherlands) melalui negeri ini, namun, ia tidak mempunyai permit yang diperlukan, menyebabkan ia ditahan.
Menurut laporan akhbar itu lagi, semua peralatan ketenteraan yang dibawa masuk dan keluar dari mana-mana pelabuhan di negara ini memerlukan permit khas daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
-- BERNAMA
#kontena
#Lembaga Pelabuhan Johor
#LPJ
#Muhammad Razif Ahmad
#Pelabuhan Tanjung Pelepas
#PTP
#radar tentera