Kontak rapat tidak perlu kuarantin jika sudah dapat dos penggalak

Ridauddin Daud
Februari 24, 2022 18:10 MYT
Individu tersebut bagaimanapun perlu menjalani ujian RTK kendiri pada hari pertama dan ketiga dari tarikh akhir pendedahan kepada kes indeks. - Gambar hiasan/ Bernama
PUTRAJAYA: Individu berusia 18 tahun dan ke atas yang merupakan kontak rapat kepada pesakit COVID-19 namun sudah mendapat dos penggalak tidak perlu menjalani perintah pemerhatian dan pengawasan di rumah (HSO) sekiranya tidak bergejala pada hari pertama.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, individu tersebut bagaimanapun perlu menjalani ujian RTK kendiri pada hari pertama dan ketiga dari tarikh akhir pendedahan kepada kes indeks.
Menurutnya, protokol pengurusan kontak rapat yang baharu itu akan berkuat kuasa pada 1 Mac nanti.
BACA: Tiada lagi kuarantin jika jadi kontak rapat, fasa pertama dimulakan sektor kesihatan - Khairy
BACA: COVID-19: Jawab borang HAT di MySejahtera sekiranya positif atau kontak rapat - Khairy
“Mereka perlu lakukan ujian RTK kendiri pada hari pertama dan ketiga dari tarikh akhir pendedahan kepada kes positif.
“Sekiranya positif, perlu laporkan melalui MySejahtera dan jalani isolasi. Kalau negatif pada hari pertama dan ketiga, mereka boleh teruskan urusan seperti biasa.
“Untuk yang lain, ia kekal. Bagi kontak rapat bergejala, mereka mesti menjalani HSO selama lima hari,” katanya pada sidang media KKM di Putrajaya pada Khamis.
COVID-19 | Tak perlu kuarantin jika kontak rapat, sesuaikah ia dilaksanakan?
Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira penilaian risiko yang mendapati dalam varian Omicron, tempoh inkubasinya adalah lebih singkat berbanding varian Delta.
“Melalui penilaian risiko daripada KKM, kita dapati bahawa sekiranya mereka tidak bergejala, kemungkinan ‘virus load’ mereka adalah rendah.
“Kedua, kita masih lagi ada langkah keselamatan dengan ujian pada hari pertama, ketiga dan pemantauan kesihatan kendiri. Dalam tempoh beberapa hari selepas kontak rapat, mereka perlu jalani ‘self health assessment’.
Tiada lagi kuarantin untuk kontak rapat penerima dos penggalak
“Ia adalah untuk memastikan mereka tiada gejala dan sebenarnya ini juga adalah satu langkah ke arah endemik,” ujarnya.
Jelasnya, ia bukanlah bermaksud negara sudah memasuki fasa endemik namun dengan penilaian risiko yang dibuat, KKM berpendapat dasar baharu itu sesuai dilaksanakan pada waktu ini.
#kontak rapat #dos penggalak #Khairy Jamaluddin #SOP baharu
;