Konsultan didakwa muat naik iklan palsu guna gambar Tengku Bendahara Kelantan

Bernama
Januari 9, 2024 16:45 MYT
Tertuduh (dua dari kiri) ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu untuk pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pada Selasa. - Foto Sinar Harian
KOTA BHARU: Seorang konsultan perniagaan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memuat naik iklan palsu di Facebook yang kononnya sebuah kedai emas akan dirasmikan oleh Tengku Bendahara Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra Sultan Ismail Petra.
Tertuduh, Khairul Khizaini Zamsani, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu pada 16 Okt tahun lepas pada jam 6.55 petang di sebuah premis di Kampung Pasir Kota, mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad mencadangkan jaminan RM10,000 manakala tertuduh yang diwakili peguam Mohd Taufikrullah Rusli memohon jaminan dikurangkan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan dikehendaki melaporkan diri di Balai Polis Gong Badak, Terengganu setiap bulan dan menetapkan 14 Feb untuk sebutan semula kes.
Pada Oktober tahun lepas, media melaporkan seorang pengurus dan pekerja kedai emas, Aznizan dan Nor Asri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan gambar Tengku Muhammad Fakhry Petra tanpa kebenaran untuk mengiklankan perasmian premis mereka di Facebook.
-- BERNAMA
#konsultan perniagaan #muat naik iklan palsu #kedai emas #perasmian #Tengku Bendahara Kelantan #Tengku Muhammad Fakhry Petra Sultan Ismail Petra #Kota Bharu
;