Konsulat Malaysia rancang program PKS di Pontianak

Bernama
April 27, 2024 17:21 MYT
Menurut Konsul Malaysia di Pontianak, Azizul Zekri Abd Rahimi, inisiatif itu merupakan satu usaha bersama antara pihaknya dengan Pejabat Datuk Bandar Pontianak di Kalimantan Barat. - Facebook Konsulat Malaysia Pontianak
JAKARTA: Konsulat Malaysia di Pontianak merancang untuk mengadakan program komprehensif bagi mengembangkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Kuching, Sarawak dan Pontianak, Kalimantan Barat, Indonesia
Program itu termasuk pameran, seminar dan dialog dijangka akan diadakan pada bulan Julai atau Ogos tahun ini.
Menurut Konsul Malaysia di Pontianak, Azizul Zekri Abd Rahimi, inisiatif itu merupakan satu usaha bersama antara pihaknya dengan Pejabat Datuk Bandar Pontianak di Kalimantan Barat.
''Perbincangan berkisar mengenai peluang kerjasama baharu dan membentangkan rancangan pelaksanaan Program Pengembangan PKS dari Malaysia dan Kalimantan Barat dengan (memberi) penekanan khusus kepada usahawan PKS dari Kuching dan Pontianak,'' katanya kepada Bernama.
Pada Rabu, beliau mengadakan kunjungan hormat ke atas Pemangku Datuk Bandar Ani Sofian. Ia merupakan pertemuan rasmi pertama mereka sekali gus membuka lembaran baharu untuk mengeratkan hubungan dua hala.
Program komprehensif itu termasuk pameran produk PKS, daripada makanan hingga kraftangan serta seminar dan dialog untuk memperkukuh penjanaan pendapatan dan memupuk kerjasama usahawan yang erat.
Inisiatif yang disokong Ani Sofian bakal memperkukuh pertumbuhan PKS dan meningkatkan hubungan dua hala Malaysia dan Indonesia, khususnya Kalimantan Barat dan Sarawak.
Azizul Zekri yakin program yang diterajui Konsulat Malaysia akan menjadi pemangkin kepada usahawan PKS secara konsisten untuk meningkatkan kualiti produk dan meluaskan jangkauan pasaran.
"Adalah diharapkan dengan pelaksanaan inisiatif ini, lebih banyak peluang kerjasama ekonomi dapat diwujudkan, seterusnya menjadi salah satu sumber meningkatkan pendapatan usahawan di Sarawak dan Kalimantan Barat," katanya.
-- BERNAMA
#konsulat Malaysia #Pontianak #PKS #Kuching #Sarawak #azizul zekti abd rahim
;