Konsul Malaysia di Pekanbaru cedera diragut sampai terlentang
Saharudin Musthafa
Mac 1, 2019 18:40 MYT
Mac 1, 2019 18:40 MYT
KONSUL Malaysia di Pekan Baru, Indonesia, Wan Nurshima Wan Jusoh cedera akibat tercampak dan terlentang di jalan raya selepas beg tangannya diragut dua penjenayah pada Khamis.
Dalam kejadian itu, Wan Nurshima didatangi penjenayah itu yang menunggang motosikal ketika dia sedang memasukkan barangan yang dibelinya ke dalam bonet kereta.
Menurut suaminya, Raja Mohd. Nizam Raja Kamarulbahrin, berikutan itu, Wan Nurshima mengalami trauma dan sedang menerima rawatan di sebuah hospital.
"Alhamdulillah isteri saya stabil tapi masih trauma. Dia mengalami luka-luka. Dia terlentang di atas jalan akibat penjenayah itu bertindak kasar cuba meragut beg tangan yang disilangkan di bahunya," kata Raja Mohd Nizam kepada Astro AWANI ketika dihubungi.
Raja Mohd Nizam yang juga seorang pegawai kanan di Kementerian Pembangunan Usahawan di Putrajaya tiba di Pekanbaru awal pagi tadi untuk menziarahi dan menemani isterinya.
Media Indonesia melaporkan, ketika kejadian yang berlaku pukul 5 petang (waktu tempatan) itu, Wan Nurshima juga ditemani oleh ibu yang kebetulan melawatnya serta dua orang anaknya yang pulang dari sekolah sudah berada di dalam kereta.
Memetik kenyataan pemandunya yang dikenali sebagai Feri, kedua-dua peragut itu berusaha menarik beg tangan Wan Nurshima namun tidak berjaya memilikinya selepas dihalang oleh mangsa.
"Wan Nurshima berusaha mempertahankan agar beg tangannya itu tidak terlepas kepada peragut itu menyebabkan berlakunya aksi tarik menarik sehingga beliau diseret dan terjatuh ke atas jalan raya," kata Feri yang baru empat bulan menjadi pemandu Wan Nurshima.
Berikutan itu, semua wang serta barangan lain yang berada dalam beg tangan Wan Nurshima berterabur di atas jalan sementara kedua-dua peragut itu pula dengan pantas menghilangkan diri mereka.
#Diragut tercampak ke jalan Konsular Malaysia di Pekanbaru cede
#Indonesia
#Konsular Malaysia
#Konsular Malaysia di Pekanbaru cedera
#Pekanbaru