Konstabel polis cedera parah, tertembak mesingan sendiri
Nazialita Geynna Maharan
Mac 13, 2018 21:44 MYT
Mac 13, 2018 21:44 MYT
Seorang anggota polis berpangkat Konstabel mengalami kecederaan parah di dada selepas tertembak diri sendiri menggunakan submesingan.
Kemalangan berlaku ketika mangsa ingin memulakan tugas di Pos Pengawal Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perah Tengah di sini, tengahari tadi.
Dalam kejadian sekitar pukul 12 tengah hari itu, mangsa yang berusia 24 tahun tersebut cedera pada bahagian dada kiri selepas tertembak dengan senjata api jenis HK MP5.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati senjata tersebut tidak diletakkan dalam kunci selamat ketika kejadian berlaku.
"Senjata tersebut meletup dan melepaskan satu das tembakan dipercayai tertekan picu ketika mangsa ingin meletakkan tali seling senjata ke badan.
"Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Raja Perempuan Bainun dan dilaporkan dalam keadaan stabil," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada malam tadi (Selasa).
Menurut Mohamad Zainal, mangsa yang berasal dari Melaka itu telah memulakan tugasnya di IPD Perak Tengah pada September 2016 selepas tamat latihan di Pusat Latihan Polis (Pulapol).
#API
#Astro
#Astro Awani
#cedera
#Hospital
#kemalangan
#mangsa
#mesingan
#Mohamad Zainal Abdullah
#polis
#siasatan
#tembakan
#tertembak