Konstabel mati tertembak: 'Dia sempat beli pakaian raya untuk keluarga, bayar zakat fitrah' - Isteri

Bernama
Mei 8, 2021 00:40 MYT
Nor Fitrah berkata suaminya sudah membeli pakaian dan kasut raya untuk beliau dan anak mereka Nur Asyfa Alisha. - Gambar Bernama
TEMERLOH: Konstabel Norhalim Tumiran yang maut dipercayai akibat tertembak oleh rakan sepasukan sempat membuat persiapan hari raya buat semua ahli keluarga walaupun tidak pulang beraya kerana baru ditugaskan di Sibu, Sarawak.
Isteri mangsa Nor Fitrah Ramli, 25, berkata suaminya membeli pakaian dan kasut raya untuk beliau dan anak mereka Nur Asyfa Alisha, setahun dua bulan, serta ibu arwah secara dalam talian yang dihantar terus ke rumah keluarga arwah di Felda Bukit Damar, Lanchang di sini.
"Suami yang paling teruja setiap kali dimaklumkan barangan tiba. Dia akan membuat panggilan video dan minta kami mengenakan pakaian itu untuk melihat jika kami suka dengan hadiah yang dihantarnya dari jauh.
"Pagi hari kejadian, suami juga ada telefon untuk memaklumkan dia sudah menyelesaikan bayaran zakat fitrah buat kami sekeluarga dan ibunya kerana baru mendapat gaji," katanya kepada pemberita di rumah arwah pada Sabtu.
Norhalim, yang bertugas di Unit Rondaan Bermotorsikal (URB) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu, Sarawak ditemukan maut dengan kesan tembakan pada bahagian atas telinga kanan di sebuah rumah di Taman Permai yang disewa rakannya pada malam Khamis lepas.
BACA: Konstabel ditemui maut dengan kesan tembakan di kepala, tiga rakan serumah direman
BACA: Konstabel percubaan dijumpai mati dengan kesan tembakan di kepala
Kejadian dipercayai berlaku apabila rakannya, yang juga anggota polis, bergurau sambil mengacukan pistol ke kepala Norhalim, 25, yang difahamkan berkunjung ke rumah tersebut untuk bermain permainan komputer sementara menunggu waktu berbuka.
Nor Fitrah, yang berasal dari Felda Lakum, Lanchang berkata mereka berkahwin pada 19 April 2019 dan sejak itu mengetahui minat suaminya untuk menjadi anggota polis kerana arwah sering 'mengintai' iklan pengambilan konstabel.
Arwah, yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik, sebelum itu bekerja di sebuah syarikat keselamatan di Petaling Jaya, Selangor dan seingat Nor Fitrah, beliau sudah lima kali menemani suaminya menghadiri temu duga polis.
"Suami akhirnya terpilih mengikuti kursus di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Segamat, Johor dan sejak menerima berita itu, arwah bersenam setiap malam termasuk berjoging bagi memastikan kesihatannya berada di tahap terbaik.
"Malah suami juga meminta saya yang semasa itu bekerja di Shah Alam, Selangor untuk berhenti kerja dan kembali ke pangkuan keluarga kerana mahu saya dan anak berada bersamanya apabila dia sudah mendapat tempat bertugas," katanya.
Jenayah | Tiga direman bantu siasatan kes polis ditemukan maut
Nor Fitrah berkata suaminya juga memaklumkan akan cuba mengambil cuti sempena Aidiladha untuk pulang ke kampung dan membawa mereka ke Sibu kerana telah mendapat rumah di sana selain sudah mula berkira-kira untuk membeli perabot penting dahulu.
Beliau berkata kali terakhir mereka bertemu ialah 15 Mac lepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) apabila mereka sekeluarga menghantar suaminya ke Sibu dan ketika itu sempat membawa tempe goreng dan tat cadbury untuk dijamah arwah.
"Kami lama tidak bertemu kerana tiada lawatan di PULAPOL akibat COVID-19 sejak arwah mengikuti latihan pada September 2020.
"Bagaimanapun, arwah sering menghubungi kami menggunakan telefon awam... dari situ, arwah beritahu teringin makan tempe goreng dan saya bawa sebagai kejutan," katanya.
Mengulas kejadian itu, Nor Fitrah dihubungi rakan arwah pada 8.05 malam bertanya jika beliau 'tahu apa-apa' namun individu tersebut enggan mengulas lanjut menyebabkan dia mula berasa tidak sedap hati sebelum mendengar berita sedih mengenai insiden yang menimpa mangsa daripada pegawai atasan polis.
Jenayah | Polis ditemui maut, kesan tembakan di kepala
Ibu arwah, Jamilah Daman, 63, pula berkata mangsa yang mesra dipanggil Halim akhirnya berjaya menggapai cita-cita untuk menyarung seragam polis walaupun sekejap dan tidak pernah lupa meminta 'restu serta doa' selain menjemputnya untuk sama-sama menemani beliau ke pusat temu duga.
"Semasa menghantarnya ke PULAPOL, dua kali dia berpatah balik berlari ke arah saya untuk memeluk dan mencium saya sehingga akhirnya dimarahi kerana semua orang sudah mula masuk ke dalam (pusat latihan).
"(Dia) Seronok sangat kerana akhirnya impian menjadi polis tercapai," katanya.
Jamilah berkata jenazah Norhalim disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Bukit Damar pada malam Sabtu selepas disolatkan di masjid berhampiran kerana ahli keluarga mereka enggan bertangguh dalam urusan pengebumian.
-- BERNAMA
#polis mati ditembak #konstabel #tertembak oleh rakan #Sibu #Sarawak #sempat beli pakaian raya untuk keluarga #bayar zakat fitrah #isteri #anak kecil
;