Konsisten dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat
Khairunnisa Kasnoon
Februari 21, 2013 07:30 MYT
Februari 21, 2013 07:30 MYT
Perkhidmatan kepada rakyat yang konsisten dan efisien adalah kunci penting Barisan Nasional (BN) untuk memenangi hati rakyat dalam Pilihan Raya Umum-13 (PRU-13) yang akan datang.
Ahli Parlimen Santubong, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, dua perkara itu bukan sahaja selaras dengan gagasan 1Malaysia iaitu rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan malah ia secara tidak langsung menepis persepsi negatif pengundi terhadap wakil rakyat.
"Ia adalah satu pendekatan yang mana saya sendiri sebut sebagai mendekati rakyat. Saya tidak pernah guna perkataan turun padang seperti yang disebut oleh media. Turun padang ini saya bukan main bola sepak atau tenis.
"Saya pergi ke kampung, ke belakang rumah orang dan bincang secara dekat bersama penduduk (masalah mereka)," jelasnya dalam satu pertemuan dengan Astro Awani di Kuching, baru-baru ini.
Beliau yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat berkata, mendahulukan rakyat adalah satu prinsip yang perlu diterapkan oleh setiap Ahli Parlimen dalam berkhidmat jika mahu kekal terus mendapat sokongan rakyat.
Pada pilihan raya umum lalu, Wan Junaidi mengalahkan calon Parti Keadilan Rakyat, Rahamat Idil dengan majoriti 11,945 undi.
Wan Junaidi telah jadi Ahli Parlimen selama lima penggal. Beliau mula jadi wakil rakyat selepas pilihan raya 1990 apabila terpilih sebagai Ahli Parlimen Batang Lupar.
Selepas tiga penggal jadi wakil rakyat Batang Lupar, beliau bertanding dan menang pula kerusi Parlimen Santubong pada 2004 dan 2008.