Konsert penyanyi legenda India, operasi LRT dilanjut ke 1 pagi

Umavathi Ramayah
Julai 26, 2024 12:55 MYT
Kali terakhir komposer legenda itu 'beraksi' di Malaysia adalah pada Januari 2023 menerusi Konsert AR Rahman - Secret of Success - Live in Malaysia 2023 yang dibanjiri lebih 60,000 peminat. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Operasi Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bukit Jalil akan dilanjutkan sehingga pukul 1 pagi berikutan konsert mega, penyanyi dan komposer legenda dari India, AR Rahman yang berlangsung pada Sabtu.
Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dalam satu kenyataan berkata, lanjutan masa itu bagi memenuhi keperluan operasi di Stadium Bukit Jalil.
"Operasi kesemua stesen akan turut dilanjutkan bagi membolehkan penumpang menuju ke destinasi akhir," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Sementara itu, untuk mengelakkan kesesakan, Prasarana juga menasihatkan penumpang agar menggunakan kad Touch ‘n Go selain mempunyai baki mencukupi.
Selepas lebih setahun, pemenang Oscar itu kembali ke Malaysia untuk mengubat rindu peminat menerusi konsert AR Rahman Live in Kuala Lumpur 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada 27 Julai.
Ikon muzik itu dijangka 'beraksi' pada pentas itu lebih dua jam, bermula pukul 8 malam.
Konsert itu dijangka menampilkan gabungan genre muzik, mempersembahkan lagu terkenal Rahman di samping gubahan baharu.
Kali terakhir komposer legenda itu 'beraksi' di Malaysia adalah pada Januari 2023 menerusi Konsert AR Rahman - Secret of Success - Live in Malaysia 2023 yang dibanjiri lebih 60,000 peminat.
Konsert itu turut menampilkan penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang akan berduet bersama AR Rahman menerusi lagu Tamil klasik berjudul Munbe Vaa.
#Stadium Nasional Bukit Jalil #LRT #konsert #genre muzik