Konsert Muzikal Tahun Baharu Cina sasar 8,000 pengunjung
Bernama
Februari 3, 2024 05:00 MYT
Februari 3, 2024 05:00 MYT
IPOH: Kira-kira 8,000 pengunjung dijangka memeriahkan Konsert Muzikal pada 8 Feb ini bersempena dengan perayaan Tahun Baharu Cina yang akan berlangsung di Amphitheatre, Laman Sejahtera di Taman D.R Seenivasagam yang siap pembinaannya pada Mac 2023.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, konsert yang julung kali dianjurkan itu selaras dengan inisiatif mempromosikan bandar raya Ipoh yang diiktiraf oleh UNESCO Creative Cities Network (UCCN) sebagai Bandar Muzik pada 31 Okt 2023.
"Konsert akan bermula pada 8 malam mempersembahkan kumpulan muzik Kinta Valley Wind Orchestra (KVWO), persembahan artis, tarian naga dan singa, nyanyian lagu tradisional termasuk pertunjukan bunga api.
"Selain itu, terdapat juga gerai makanan berkonsepkan food truck turut disediakan untuk pengunjung bagi memeriahkan lagi suasana sambutan Tahun Baharu Cina kali ini," katanya dalam sidang media, di sini, pada Sabtu.
Terdahulu, Rumaizi mengadakan lawatan ke tapak konsert itu, di sini, pagi Sabtu.
Rumaizi berkata, Amphitheatre merupakan sebuah pentas terbuka dan boleh memuatkan sebanyak 300 hingga 400 penonton yang sesuai digunakan untuk pertunjukan hiburan dan seni.
"Amphitheatre dibina pada 1 Julai 2021 dan siap sepenuhnya pada 1 Mac 2023 sebagai satu daripada projek yang dijalankan bagi memanfaatkan kawasan lapang Taman D.R Seenivasagam serta dibina bersebelahan tasik buatan.
"Kita mahu ia dijadikan sebagai tempat tumpuan penggemar muzik dan seni untuk menggunakan kawasan ini bagi mempromosikan seni persembahan, selain menjadi destinasi pelancongan baharu buat pengunjung tempatan dan luar negara," katanya.
Rumaizi berkata, Majlis Bandaraya Ipoh turut melaksanakan kerja naik taraf di kawasan sekeliling Amphitheatre termasuk di kawasan pulau berhadapan dengan Amphitheatre untuk menjadikan persekitaran yang lebih selesa dan selamat kepada para pengunjung pada waktu malam.
"Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sebelum ini telah menyalurkan peruntukan RM250,000 untuk naik taraf pencahayaan.
"Selain itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Landskap Negara turut menyalurkan peruntukan tambahan RM500,000 dan MBI memperuntukkan RM250,000 bagi tujuan landskap serta pencahayaan keseluruhan Taman D.R Seenivasagam bagi tujuan menarik lebih ramai pengunjung," katanya.
Beliau berkata, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dijangka hadir bagi memeriahkan lagi konsert pada malam itu selain merasmikan pencahayaan dan aktiviti bot di Amphitheatre.
- BERNAMA