Konsert amal bantu pemandu bas pelancongan, sasar kutipan RM250,000

Hasimi Muhamad
April 16, 2021 13:23 MYT
Uzaidi (tengah) berkata, kutipan tersebut dijangka akan memanfaatkan 500 pemandu bas pelancongan yang terkesan akibat pandemik COVID-19. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Majlis Pelancongan Malaysia menyasarkan kutipan sebanyak RM250,000 menerusi konsert amal secara dalam talian yang akan dianjurkan pada 30 April ini.
Presidennya, Uzaidi Udanis berkata, kutipan tersebut dijangka memanfaatkan 500 pemandu bas pelancongan yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
Katanya, bantuan sebanyak RM500 akan diberikan kepada kumpulan tersebut sebagai persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
"(Perkara yang) sangat terkesan kerana ada pemandu-pemandu bas pelancongan yang menghidapi penyakit kronik. Jadi, untuk konsert ini kami mensasarkan 500 keluarga yang terkesan.
"Kami menyasarkan satu keluarga menerima RM500 sebelum hari raya. Seminggu selepas (konsert) kita akan berikan bantuan tersebut," katanya dalam Sidang Media Bantuan Kepada Pemandu Bas Pelancongan, di sini hari ini.
Katanya, konsert amal tersebut akan dijayakan dengan bantuan penyanyi tempatan, Zhuang Xue Zhong.
"Ini merupakan kali kedua kami buat, iaitu kali pertama pada sambutan Tahun Baharu Cina.
"Konsert itu telah berjaya menyumbang lebih kurang 100 keluarga semasa sambutan tersebut," tambahnya lagi.
Jelas beliau, pihaknya merancang untuk mengadakan konsert amal berskala besar untuk mengumpul dana bagi membantu pemain industri pelancongan yang terkesan.
Tambahnya, terdapat 5,000 syarikat pemandu bas pelancongan yang sedang bergelut akibat pandemik COVID-19.
Katanya lagi, syarikat-syarikat berkenaan sedaya upaya cuba mengekalkan pekerja masing-masing memandangkan kebanyakan mereka mempunyai kemahiran tinggi dalam sektor pelancongan.
Sumbangan boleh dibuat serendah RM50 dan penyumbang layak menerima baucar pelancongan dalam negara.
#Aidilfitri #sektor pelancongan #COVID-19 #Bantuan pemandu bas pelancongan #konsert amal #Majlis Pelancongan Malaysia #Zhuang Xue Zhong
;