Konsep zakat mampu rapatkan jurang sosial, perkukuh ummah - Najib
Astro Awani
Jun 26, 2016 14:17 MYT
Jun 26, 2016 14:17 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, zakat mampu menjadi asas untuk menegakkan prinsip keadilan sosial terutamanya merapatkan jurang perbezaan antara golongan kaya dengan miskin.
Tegas Najib, zakat juga mampu membentuk keperibadian mulia, tidak bersikap sombong dan tidak terlalu mengejar kebendaan sehingga terlupa kepada asas agama.
Najib berkata sumbangan dan pemberian zakat adalah penting dalam masyarakat.
"Apabila kita lihat konsep dan tujuan zakat yang diwajibkan ini antaranya ialah untuk bentuk keperibadian yang mulia supaya kita tidak terbawa-bawa dengan sikap yang sombong, takbur dan terlalu sangat mengejar kebendaan sehingga lupa akan asas agama.
"Inilah asas agama kita, asas kesyukuran kita, asas hubungan dengan manusia dan inilah sebabnya pemberian dan sumbangan zakat itu sangat penting dalam masyarakat," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian sumbangan zakat berjumlah RM1.72 juta kepada 6,264 golongan asnaf yang terdiri daripada warga emas, orang kurang upaya (OKU), dan ibu tunggal di kawasan Parlimen Pekan di sini hari ini.
Antara yang menyumbang adalah Bank Rakyat, Naza Corporation Holdings, UDA Holdings Berhad, Roadcare (M) Sdn. Bhd. dan Lembaga Tabung Haji, Affin Islamic Bank dan SME Bank.