Konsep Wakaf bakal diperkenal di madrasah moden MAIDAM

Bernama
Jun 17, 2017 03:14 MYT
Beliau berkata pada tahun lalu sebanyak 1,185 permohonan untuk belajar di madrasah terbabit diterima dari seluruh negara.
Konsep Wakaf akan diperkenalkan dalam pengurusan Madrasah Moden Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu sebagai usaha memastikan ia terus kekal dan mendapat dana secukupnya.
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata konsep tersebut telah menunjukkan keberkesanannya dan dijangka mampu mengumpul lebih ramai pelajar jika berjaya mendapat sokongan daripada badan korporat dan perseorangan sepertimana yang dipraktiskan Universiti al-Azhar.
Sehingga kini terdapat lebih 800 pelajar Madrasah Moden Maidam yang terletak di tiga daerah iaitu Besut, Kuala Berang dan Kuala Nerus, sejak tiga tahun lalu.
"Berbeza dengan kelas-kelas pondok yang lain, di sini selain mengajar kitab-kitab lama (kitab kuning) ia juga mengajar kemahiran seperti bercucuk tanam, menjahit dan menggunting rambut," katanya ketika berucap di Majlis Ulang Tahun Ketiga dan Berbuka Puasa bersama pelajar Madrasah Moden Maidam di Kampung Lak Lok di sini, semalam.
Beliau berkata pada tahun lalu sebanyak 1,185 permohonan untuk belajar di madrasah terbabit diterima dari seluruh negara tetapi 225 orang sahaja diterima masuk kerana pelbagai kekangan termasuk kemudahan pelajar.
Dalam majlis tersebut, kerajaan negeri telah menyumbang RM50,000 kepada Madrasah Moden Maidam Besut.
#Ahmad Razif Abd Rahman #Besut #Islam #Madrasah Moden Majlis Agama Islam dan Adat Melayu #Menteri Besar #Universiti Al-Azhar