Konsep pembayaran 'Kashless' di bazar Ramadan Kampung Baru disambut baik

Bernama
Mei 26, 2019 09:36 MYT
Bazar Ramadan Kampung Baru diberi suntikan inovasi apabila Touch n Go eWallet atau dompet elektronik diaktifkan di setiap sudut. - Foto BERNAMA
Para peniaga dan pengunjung bazar Ramadan Kampung Baru di sini menyambut baik konsep pembayaran tanpa tunai atau 'kashless' yang diamalkan bazar itu dan menyifatkannya sebagai lebih selamat, mudah dan menjimatkan masa.
Peniaga Masnor Salehudin berkata konsep pembelian dengan menggunakan kad Touch 'n Go eWallet itu mampu mengelakkan kes samun dan kecurian kerana tidak melibatkan penggunaan wang tunai.
"Malah ia mampu mempercepatkan dan memudahkan aktiviti jual beli kerana pelanggan hanya perlu menyentuh kad Touch n Go eWallet kepada mesin pengimbas, katanya kepada Bernama.
Konsep tanpa tunai ini juga membantu masalah ketiadaan duit kecil baik bagi pelanggan atau pun penjual.
Konsep Bazar Ramadan 'Kashless' di Kampung Baru ini adalah insiatif TNG Digital Sdn Bhd dalam menggalakan pengunaan Touch 'n Go eWallet.
Pelanggan yang penggunaan dompet elektronik ini hanya perlu mengimbas kod QR peniaga apabila membeli juadah.
Bagi pelanggan Syafida Azman, beliau amat mengalu-alukan pelaksanaan konsep pembelian tanpa wang tunai.
"Saya memang tidak suka membawa wang tunai apabila keluar dari rumah... dengan e-wallet semua orang tidak perlu berfikir tentang ada duit atau tidak ada duit semasa keluar, " katanya.
Beliau berkata kad tersebut boleh tambah nilai secara auto dan memudahkan.
Melalui Touch 'n Go eWallet, pengguna hanya perlu muat turun aplikasi tersebut, tambah nilai dan mengimbas kod QR untuk membuat pembelian secara tanpa tunai
Sebanyak 400 peniaga di bazar Ramadan Kampung Baru menyediakan perkhidmatan ini di sepanjang bulan Ramadan sehingga 31 Mei ini.
-- BERNAMA
#Aidilfitri #Bazar Ramadan #jendela ramadan #Kampung Baru #Mansor Salehudin #qr #ramadan 1440 #ramadanawani1440 #TNG Digital Sdn Bhd #Touch n Go
;