Konsep Payung Rahmah terus diperkukuh, perjuangan Salahuddin pembakar semangat - PM Anwar

Bernama
Julai 27, 2023 13:13 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Majlis Peluncuran Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Konsep Payung Rahmah akan terus diperkukuh bagi menangani cabaran kos sara hidup, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata inisiatif cetusan idea Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub itu akan menjadi pembakar semangat kepada Kerajaan Perpaduan untuk melakukan yang terbaik demi negara.
"Semua yang mengenali beliau amat terkesan sekali dengan pemergian tokoh hebat ini. Kerja keras dan kesungguhan beliau dalam menangani beban sara hidup rakyat akan menjadi pembakar semangat untuk kita semua melakukan yang terbaik untuk Malaysia tercinta," kata beliau.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan antara jemaah menteri yang hadir ialah Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil serta Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Anwar berkata konsep Payung Rahmah adalah antara inisiatif sasaran jangka pendek dalam Ekonomi Madani, telah digerakkan bagi menangani isu-isu segera yang mengesankan rakyat.
Salahuddin, 61, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah pada Ahad lepas selepas ditidurkan susulan pembedahan akibat pendarahan otak.
Selama hayatnya, Salahuddin amat komited dalam memperjuangkan nasib rakyat terutama berkaitan kos sara hidup.
-- BERNAMA
#ekonomi madani #Anwar Ibrahim #Payung Rahmah #Salahuddin Ayub
;