Konsep negara Madani dicetuskan Perdana Menteri sejak tahun 1984 - IDE
Fareez Azman
Mei 11, 2023 17:16 MYT
Mei 11, 2023 17:16 MYT
KUALA LUMPUR: Konsep Malaysia Madani yang diasaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bermula pada tahun 1984 dalam membina masyarakat bertamadun dan melahirkan modal insan akal dan rohani di negara ini.
Menurut Pengarah Eksekutif Institut Darul Ehsan (IDE), Datuk Ismail Yusop, meskipun perkara itu tertangguh sejak 26 tahun lalu, namun konsep terbabit mampu membawa Malaysia ke tahap lebih baik.
"Justeru pembinaan negara bangsa ini, masih lagi dianggap work in progress. Kerana itu juga Dasar Malaysia Madani dikemukakan Perdana Menteri, mengemukakan enam kerangka utama merumuskan negara Madani.
"Rumusan ini himpunan perjalanan politik Perdana Menteri, menekankan soal keterangkuman membina masyarakat bertamadun.
"Bukan sahaja dari aspek fizikal malah melahirkan modal insan cemerlang dari sudut akal dan rohani," katanya.
Tambah Ismail, usaha terbabit konsisten dibawakan oleh Anwar dalam membicarakan negara Madani.
"Bahkan dalam skrip Madani menjadi panduan dasar dan polisi negara menjelaskan bagaimana tasahuf, pemikiran Madani, dimulakan secara konsisten oleh Perdana Menteri bermula suatu seminar di Jakarta pada tahun 1984.
"Kali pertama beliau membicarakan tentang negara Madani. Kemudian pada tahun 1986 di UKM, ada satu seminar beliau memberikan ucap utama mendefinisikan negara Madani.
"Diikuti pada tahun 1994, sewaktu itu Timbalan Perdana Menteri (jawatan dipegang Anwar) menulis buku The Asian Renaissance... buat pertama kali menghurai dan mengupas konsep ekonomi manusiawi dalam konteks tamadun bangsa kemudian diterjemahkan dalam buku Gelombang Kebangkitan Asia," katanya lagi.
Justeru, menerusi konsep Malaysia Madani, ia dijangka mampu menangani sentimen-sentimen tertentu terutamanya perkauman yang cuba dicetuskan oleh sesetengah pihak bagi mendapat sokongan politik.
"Oleh itu, dalam buku Datuk Seri Anwar Ibrahim, Membangun Negara MADANI, yang diurus terbit oleh IDE, beliau tegas menyatakan bahawa kepelbagaian kita ini adalah suatu kekuatan yang berpaksikan kepada teras asas yang telah kita sepekati bersama dalam Perlembagaan Malaysia, meliputi enam elemen..
"... iaitu Raja Berpelembagaan / Kedaulatan Raja-Raja Melayu, Demokrasi Berparlimen, Hak dan Kebebasan Rakyat, Islam Agama Persekutuan, Bahasa Melayu, Bahasa Kebangsaan, Penetapan Hak Istimewa Orang Melayu dan Bumiputera.
"Kesemua ini asas dalam Perlembagaan Malaysia... adalah sendi kepada kestabilan dan teras identiti rakyat Malaysia. Kepelbagaian adalah kekuatan, inilah juga yang kita ertikan sebagai kepelbagaian dalam bingkai kesatuan," katanya lagi.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama Persidangan Serantau Ke-2 Hidup Bersama Dalam Budaya Damai Pendekatan Madani: Mengurus Kepelbagaian Dalam Bingkai Kesatuan anjuran Institut Pemikiran dan Kepemimpinan Siddiq Fadzil (IPKSF) UNISEL dan Institut Darul Ehsan (IDE) di sini pada Khamis.