Konsep MADANI menyatupadukan rakyat berbilang kaum - Chan
Bernama
Februari 12, 2025 10:30 MYT
Februari 12, 2025 10:30 MYT
Tuanku Syed Faizuddin (dua dari kiri) dan Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah (tiga dari kiri) berangkat ke majlis sambutan perayaan Tahun Baharu Cina dan Hari Chap Goh Mei anjuran Pusat Khidmat ADUN Indera Kayangan, malam tadi. - Gambar Bernama
KANGAR: Konsep MADANI adalah nilai teras yang boleh diterima oleh semua lapisan masyarakat di Malaysia, sekali gus dapat menyatupadukan rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini.
Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Chan Ming Kai berkata, rakyat harus menghindari prasangka buruk antara satu sama lain dan mengamalkan nilai positif, meskipun dengan budaya yang berbeza.
Mereka juga perlu sentiasa mencari pendekatan harmoni dan berusaha untuk memahami perbezaan agama dengan semangat MADANI.
"Kepelbagaian tidak bermaksud semua elemen mesti diwujudkan pada setiap masa secara bersama atau serentak, tetapi ia bermaksud perbezaan antara kita tidak dijadikan halangan malah diberi ruang dan kebebasan untuk meraikan budaya masing-masing tanpa sangkaan buruk. Dari semasa ke semasa berusaha mewujudkan ruang dan peluang untuk saling memahami," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan perayaan Tahun Baharu Cina dan Hari Chap Goh Mei anjuran Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan, di sini, malam tadi, yang disempurnakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Hadir sama ADUN Indera Kayangan, Gan Ay Ling.
Ming Kai berkata, dunia hari ini dipenuhi dengan berita palsu, maklumat salah, informasi yang bercanggah dan kebencian tidak berkesudahan maka sebagai masyarakat yang matang dan majmuk, rakyat harus bersabar dan sentiasa mengambil pendekatan positif dan inklusif dan bukan perbalahan.
Beliau yang pernah menjadi ADUN Indera Kayangan dari 2013 hingga 2018 berkata, Perlis sentiasa di hatinya dan akan berusaha untuk memastikan pembangunan dan kebajikan negeri itu dijaga serta mengucapkan terima kasih kepada pihak yang menyokong hala tuju masyarakat MADANI.
Sementara itu, Ming Kai berkata, pada majlis sambutan itu turut diadakan simbolik pemberian sumbangan kebajikan kepada golongan memerlukan.
Sumbangan melibatkan seramai 600 penerima manfaat, termasuk 100 Orang Kelainan Upaya dan 100 orang warga emas yang masing-masing menerima sumbangan bakul makanan, manakala 400 pelajar sekolah menerima beg sekolah dan wang tunai RM50, setiap seorang. - BERNAMA