Konsep konservasi terbuka di Hutan Simpan Kekal didik masyarakat cintai khazanah alam
Bernama
Julai 5, 2023 04:30 MYT
Julai 5, 2023 04:30 MYT
PADANG BESAR: Pendekatan yang digunakan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perlis menguna kaedah konservasi terbuka di Hutan Simpan Kekal (HSK) bukan hanya dapat melindungi dan memulihara flora dan fauna tetapi pada masa yang sama mengajak orang ramai terlibat sama dalam menjaga khazanah alam itu.
Pengarah Perhutanan Perlis Ag Shaffie Ag Ahmadni berkata usaha pemuliharaan dengan memberi pendidikan dan kefahaman kepada masyarakat agar mereka lebih mengenali habitat dan hidupan liar yang terdapat di HSK.
"Dengan kaedah ini orang ramai dapat memahami batas-batas yang perlu dijaga ketika berada di HSK bagi mengelak berlaku konflik antara manusia dan hidupan liar," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Beliau berkata kaedah yang diguna di Perlis agak unik iaitu menggunakan konsep konservasi terbuka dan bukan melindungi dan memulihara hidupan liar dalam bentuk 'kandang', kerana hidupan liar memerlukan tempat yang bebas untuk meneruskan kehidupan di habitat asalnya.
Ag Shaffie berkata Perlis kini mempunyai HSK seluas 10,869.74 hektar bermula dari sempadan Malaysia-Thailand hingga ke Kuala Perlis dengan 90 peratus daripadanya adalah banjaran batu kapur, dan ia meliputi 13 peratus daripada keluasan negeri Perlis iaitu Mata Ayer, Wang Mu, Bukit Bintang, Kurong Batang dan Bukit Papan.
Katanya HSK juga diwartakan sebagai taman negeri, kawasan perlindungan hidupan liar, kawasan pembelajaran dan kawasan tadahan air pada 2007.
-- BERNAMA