Konsep Jualan Murah Keluarga Malaysia akan diperluas ke IPTA - Annuar
Hasimi Muhamad
Ogos 15, 2022 18:50 MYT
Ogos 15, 2022 18:50 MYT
PUTRAJAYA: Konsep Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) akan dipertimbang diperluaskan sekurang-kurangnya ke 20 buah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di seluruh negara.
Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya menjangkakan inisiatif tersebut akan boleh mula dilaksanakan pada Oktober ini sebaik kemasukan semula pelajar.
Jelas beliau, syor yang dikemukakan oleh wakil pemimpin pelajar itu akan dibawa ke mesyuarat pada minggu depan.
"Oleh kerana keperluan barangan di kampus agak berbeza berbanding luar kampus, maka ia perlu ada perbincangan dan mekanisme bagaimana perkara ini dilaksanakan, kerana kita juga telah bersetuju untuk menggerakan Gerakan Koperasi untuk memberi harga barang lebih murah.
"Barangkali kita perlu melihat kewujudan koperasi di kampus-kampus tersebut dan mungkin ada satu kaedah yang boleh kita pertimbangkan kerana secara prinsipnya, kita setuju dengan pengesyoran yang dikemukakan wakil persatuan pelajar di mana kampus-kampus juga perlu ada peluang untuk mahasiswa dan mahasiswa mendapatkan barangan tertentu pada harga yang lebih murah.
"Saya menjangkakan kampus akan dibuka semula pada pertengahan September dan Oktober, jadi jawatankuasa mempunyai masa yang cukup untuk membincangkan kaedah dan mekanisme sekiranya jawatankuasa boleh memberi persetujuan supaya konsep JMKM yang sekarang diadakan di lebih 639 kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) kemungkinan dapat diperluaskan ke 20 IPTA di seluruh negara," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Isnin.
Annuar dalam pada itu berkata JMKM peringkat Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan diadakan pada 19 Ogos hingga 21 Ogos ini di Stadium Shah Alam, Selangor sebelum diperluaskan ke negeri lain
Selain itu, beliau berkata JMKM Fasa Kedua pula akan dilancarkan di Parlimen Bera pada 26 Ogos ini di bawah kendalian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).