Konsep 'education on the go' pupuk minat orang ramai sambung belajar

Kenyataan Media
November 21, 2023 14:28 MYT
Memorandum Persefahaman (MoU) antara TEKUN Nasional dan Universiti Malaya bertujuan membina perkongsian strategik untuk meneroka peluang meningkatkan pendidikan dan latihan kepada kakitangan TEKUN Nasional.
CYBERJAYA: Menyedari ramai dalam kalangan individu bekerja tidak minat untuk menyambung pengajian disebabkan oleh faktor kekangan masa, Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya (UM) menerapkan konsep ‘education on the go’ bagi memupuk minat golongan pekerja.
Merangkumi idea bahawa pembelajaran boleh menjadi fleksibel, terintegrasi dalam kehidupan harian, dan boleh diakses melalui teknologi mudah alih, konsep ini dianggap sesuai sejajar perkembangan teknologi masa kini dengan menerapkan teknologi paling inovatif.
Profesor Yatimah Alias, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UM, berkata Pusat Pendidikan Berterusan UM berusaha untuk menyesuaikan pembelajaran dengan evolusi teknologi abad ke-21, sebagai galakan kepada individu untuk terus belajar, memperbaharui pengetahuan, dan meningkatkan kemahiran sepanjang hayat.
“Kami memahami betapa pentingnya pembelajaran sepanjang hayat walaupun selepas tamat sekolah dan universiti. Dengan adanya akses teknologi mudah alih seperti telefon pintar atau tablet, konsep ini sesuai diterapkan dalam proses pembelajaran dan menjadi hasrat kami untuk mengaplikasikan teknologi paling inovatif ke dalam amalan pendidikan di Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Menandatangi Memorandum Persefahaman (MoU) antara TEKUN Nasional dan Universiti Malaya bagi membina perkongsian strategik, untuk meneroka peluang meningkatkan pendidikan dan latihan kepada kakitangan TEKUN Nasional.
Majlis yang berlangsung di Universiti Malaya Kampus Cyberjaya itu turut dihadiri Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, Pengerusi TEKUN Nasional; Datuk Adam Abd Ghani, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN Nasional dan Prof. Andri Andriyana, Pengarah International Relations Centre (IRC) UM.
Jelas Yatimah, pembelajaran berasaskan pengalaman menjadi pemangkin kepada Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya kerana, ia menggalakkan penglibatan aktif dalam proses pembelajaran, berbanding penyerapan maklumat secara pasif.
Ini kerana, pembelajar secara aktif dalam pengalaman akan menjadikannya lebih menarik dan mudah
diingati.
“Pembelajaran berasaskan pengalaman membantu individu mengembangkan kemahiran praktikal, keupayaan menyelesaikan masalah, dan adaptabiliti. Kemahiran-kemahiran ini sangat berharga dalam konteks pendidikan dan peribadi.
“Malah, boleh disesuaikan dengan minat dan keperluan individu. Pelajar boleh memilih pengalaman yang sejajar dengan matlamat dan aspirasi mereka bagi menjadikan proses pembelajaran lebih peribadi,” katanya.
Beliau berkata, MoU yang dimeterai hari ini merupakan langkah penting untuk membina ekonomi yang lebih mampan di Malaysia. Bahkan, akan menjadi contoh terbaik bagaimana kerjasama strategik antara entiti kerajaan dan institusi akademik dapat memberi manfaat besar kepada masyarakat.
Info:
Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya ditubuhkan pada tahun 1998, memayungi aspirasi "Pembelajaran Sepanjang Hayat" dengan menawarkan pelbagai program di peringkat Diploma Sepenuh Masa, Diploma Eksekutif, dan Sijil Profesional yang berpusat di Kampus Cyberjaya.

*Kenyataan media ini dikeluarkan oleh Universiti Malaya (UM)
#education on the go #universiti malaya #pembelajaran sepanjang hayat #evolusi pendidikan
;