Konsep bipartisan mampu basmi miskin tegar - Pakar

Bernama
Mei 1, 2023 10:00 MYT
Kesanggupan semua parti untuk bekerjasama tanpa mengira pegangan politik adalah asas penting untuk memastikan keberkesanan usaha pembasmian kemiskinan. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Pendekatan bipartisan mampu menoktahkan kemiskinan tegar di negara ini berbanding hanya mengharapkan usaha kerajaan semata-mata, menurut pakar ekonomi Jain Yassin.
Beliau berkata kesanggupan semua parti untuk bekerjasama tanpa mengira pegangan politik adalah asas penting untuk memastikan keberkesanan usaha pembasmian kemiskinan.
"Kalau kita lihat insitiatif kerajaan untuk membasmi kemiskinan, suka saya ketengahkan konsep bipartisan. Konsep ini penting kerana kesanggupan semua pihak untuk bekerjasama tanpa mengira pandangan politik yang berbeza akan membantu usaha pembasmian kepada golongan sasar.
"Bipartisan ini boleh dilakukan kerana Malaysia sudah mengikuti jejak United Kingdom apabila sudah mempunyai kumpulan rentas parti Parlimen yang diwujudkan untuk bersama-sama dengan blok pembangkang dan kerajaan untuk pelaksanaan sesuatu program di kawasan Parlimen," katanya kepada Bernama.
Selain itu, bagi memastikan program kemiskinan lebih berimpak, Jain yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah turut mencadangkan kerajaan supaya melaksanakan analisis keperluan sebelum melaksanakan sebarang inisiatif di kawasan tertentu.
Menurut Jain analisis itu perlu mengambil kira faktor seperti keperluan sesebuah kawasan, kesediaan komuniti yang akan dilibatkan serta kesesuaian sumber yang ada di kawasan itu untuk melaksanakan program.
"Ini penting sebab saya lihat banyak program kerajaan tidak mampan kerana tidak sesuai dengan komuniti tersebut, tidak sesuai dengan sumber yang terdapat di kawasan tersebut dan geografi kawasan.
"Sebab itu untuk kelangsungannya, perlu ada satu jawatankuasa pemantauan agar program yang dilaksanakan menjadi sebuah program yang mampan, selain perlu memperluas skop program pembasmian kemiskinan dengan memasukkan pembangunan kapasiti kepada komuniti agar persepsi penduduk terhadap kemiskinan dapat diubah, tanpa bergantung sepenuhnya kepada ekonomi tradisional," katanya.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Kerajaan Perpaduan berhasrat menoktahkan kemiskinan tegar di negara ini yang disifatkan beliau sebagai mengaibkan bagi sebuah negara yang mempunyai kekayaan khazanah seperti minyak dan gas.
Ahli ekonomi daripada Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR) Prof Emeritus Barjoyai Bardai berpandangan hasrat untuk menoktahkan kemiskinan tegar itu bukanlah langkah populis untuk meraih sokongan rakyat, sebaliknya adalah tanggungawab setiap kerajaan yang memerintah.
"Ini tidak ada kena mengena dengan populariti kerana membela rakyat adalah satu tanggungjawab kerajaan dan ini (basmi kemiskinan) seharusnya menjadi keutamaan kerajaan tidak kira apa sekali pun kerajaan yang memerintah.
"Usaha membasmi kemiskinan sudah wujud sejak 70 tahun lepas lagi, sebelum negara mencapai kemerdekaan dengan pelbagai program pembasmian kemiskinan telah dilaksanakan termasuk melalui penubuhan pusat zakat," katanya.
Beliau turut menyarankan agar kerajaan menumpukan pembinaan keupayaan masyarakat melalui latihan dan teknologi sebagai langkah pembasmian kemiskinan secara total.
Sementara itu, veteran DAP Lim Kit Siang dalam kenyataan berkata matlamat kerajaan untuk membasmi sepenuhnya golongan miskin tegar di negara ini adalah satu daripada cara untuk meletakkan Malaysia sebagai contoh kepada dunia.
Menurut Lim, sebelum ini beliau telah mencadangkan lima cara untuk Malaysia menjadi contoh kepada dunia antaranya dalam bidang tadbir urus yang baik; dialog antara etnik, agama, budaya dan tamadun; persefahaman; toleransi serta harmoni.
-- BERNAMA
#membasmi kemiskinan #bipartisan #pegangan politik #kerjasama
;