Konsep bangkit semula dengan lebih baik akan manfaat mangsa banjir
Astro Awani
Mac 7, 2023 22:27 MYT
Mac 7, 2023 22:27 MYT
KUALA LUMPUR: Konsep bangkit semula dengan lebih baik bagi mangsa-mangsa bencana amat penting dan memerlukan kerjasama semua pihak bukan hanya kerajaan pusat dan negeri semata-mata, kata Pengarah Pusat Pencegahan dan Kesiapsiagaan Bencana Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Khamarrul Azahari Razak.
Beliau menjelaskan, konsep bangkit semula dengan lebih baik ini juga memerlukan kerjasama dari pihak swasta untuk membantu mangsa banjir yang terjejas dari segi ekonomi.
Pihak swasta seharusnya tidak hanya menghulurkan bantuan ketika saat kecemasan semata-mata tetapi perlu juga bersama Kerajaan membantu ketika fasa pemulihan, jelas beliau.
Sebagai contoh, pihak swasta, pihak yang memberi dana atau pihak-pihak yayasan, kita lihat mereka hanya memberi dana atau bantuan ketika fasa kecemasan.
"Agak sukar atau sebahagian kecil mereka ini kita lihat kurang bersedia untuk melabur dalam fasa pemulihan yang lebih lama.
"Mungkin perkara ini berlaku kerana bantuan fasa kecemasan lebih menyerlah berbanding bantuan fasa pemulihan," tambahnya.
Beliau berpendapat, satu hala tuju dan strategi baharu yang lebih berdaya tahan perlu dirangka bagi mengatasi masalah tersebut.
Ini penting bagi memastikan mangsa-mangsa banjir dapat dibantu selepas ditimpa bencana seperti banjir yang melanda Johor ketika ini.
"Data dan fakta ini amat penting agar mereka merangka hala tuju pembangunan yang lebih berdaya tahan bukan hanya pada infrastruktur fizikal tetapi juga sistem sosial dan sistem kewangan.
"Ini untuk memastikan bagaimana mangsa-mangsa banjir atau bencana bangkit semula, agar perniagaan mereka tidak terhenti atau tidak terjejas selama berbulan-bulan.
"Jadi sudah tiba masanya mungkin satu insentif ataupun satu mekanisme baharu perlu dibentuk supaya mangsa bencana juga mendapat bantuan bukan hanya dari kerajaan ketika fasa pemulihan," katanya lagi.
Beliau berkata demikian dalam program temu bual Agenda AWANI yang membincangkan tentang tumpuan ketika fasa pemulihan banjir, pada Selasa.