Konon 'pagar' Malaysia, henti tular upacara 'Raja Bomoh' - Asyraf Wajdi

Bernama
Mac 18, 2017 16:22 MYT
Gelagat Raja Bomoh Datuk Ibrahim Mat Zin (tengah) pada 13 Mac yang melakukan upacara jampi yang kononnya membantu kelancaran pengurusan mayat warga Korea Utara yang masih belum lagi dituntut warisnya. - Foto Bernama
Orang ramai diingatkan tidak mentularkan upacara perbomohan Ibrahim Mat Zin atau dikenali sebagai Raja Bomoh yang dikatakan 'memagar' Malaysia daripada ancaman negara asing khususnya Korea Utara.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata ini kerana perbuatan mentularkan ritual oleh lelaki berasal dari Teluk Intan, Perak, itu secara tidak langsung mempromosikan individu itu.
"Memang inilah matlamat individu tersebut, iaitu diviralkan (ditularkan) supaya menjadi seorang yang lebih popular. Banyak lagi agenda negara yang lebih besar boleh dikongsikan.
"Jika menyebarkan aktiviti ini, dia yang akan mendapat publisiti sedangkan kita boleh berfikir sama ada upacara berkenaan logik atau sebaliknya," katanya kepada pemberita di sini malam tadi.
Terdahulu, Asyraf Wajdi, yang juga Anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO, merasmikan Mesyuarat Agong Berkelompok Cawangan UMNO Bahagian Alor Gajah di sini yang turut dihadiri Ketua UMNO bahagian berkenaan Datuk Seri Abdul Ghafaar Atan.
Asyraf Wajdi berkata penguatkuasaan terhadap tindakan yang dilakukan oleh individu terbabit hanya boleh dibuat oleh Jabatan Agama Islam negeri.
"Perak sudah pun membuat fatwa dan kita tunggu jabatan agama Islam negeri ini untuk membuat tindakan penguatkuasaan. Kita di peringkat pusat tidak ada penguatkuasaan," katanya.
Kerajaan Perak mewartakan fatwa mengenai pengharaman upacara perbomohan Ibrahim Mat Zin di bawah Seksyen 36 dan Seksyen 37 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 pada 3 Ogos 2015.
Video dan pelbagai rakaman gambar aksi terbaru 'Raja Bomoh'yang juga Pengasas Persatuan Seni Silat Gayung Ghaib Malaysia menjadi tular di media sosial baru-baru ini.
Aksi 'Raja Bomoh' itu dipercayai dilakukan rentetan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara tegang berikutan pembunuhan Kim Jong-nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA 2), 13 Feb lepas. -- Bernama
#Asyraf Wajdi Dusuki #fatwa #ibrahim mat zin #Islam #Korea Utara #Raja Bomoh
;