Konon ikhlas tolong tukar tayar, rupanya nak meraba
Afiezy Azaman
Julai 24, 2019 12:24 MYT
Julai 24, 2019 12:24 MYT
Seorang gadis melalui detik hitam dalam hidupnya apabila menjadi mangsa cabul seorang lelaki yang pada awalnya menawarkan bantuan untuk menukar tayar keretanya yang pancit ketika melalui Lebuhraya Kuala Lumpur - Kuala Selangor (LATAR), pada Selasa.
Ketika kejadian, Maisarah (bukan nama sebenar), 20, sedang dalam perjalanan dari rumahnya di Rawang menuju Glenmarie, Shah Alam untuk memulakan kerja di hari pertamanya.
Bagaimanapun, tayar keretanya pancit dan memaksanya memberhentikan kenderaan di bahu jalan, kira-kira pukul 7 pagi.
Tidak lama kemudian, muncul seorang lelaki yang berusia lingkungan 30-an memberhentikan motosikalnya menawarkan bantuan menukar tayar kereta Maisarah.
Melihat air mukanya yang ikhlas mahu membantu, Maisarah tanpa ragu-ragu menerima pelawaan lelaki berkenaan.
Namun begitu, kata Maisarah, keikhlasan itu tidak lama apabila lelaki itu mula menunjukkan belang.
“Ketika berusaha menukar tayar, terdapat satu skru yang sukar dibuka. Lelaki itu menyuruh saya menghubungi pasukan peronda dan ketika menunggu bantuan, dia minta tumpang duduk dalam kereta kerana cuaca panas di luar.
"Saya benarkan (dia duduk dalam kereta) dan saya mahu berdiri di luar, namun tiba-tiba lelaki itu tarik tangan saya masuk dalam kereta dan kunci pintu,” kata Maisarah berkongsi detik-detik cemas yang dilaluinya kepada Astro AWANI ketika dihubungi.
Menurut Maisara, sekalipun cemas dan ketakutan, namun dia tidak menunjukkannya kerana bimbang lelaki berkenaan akan bertindak lebih ganas.
“Saya pura-pura ‘cool’ dan sibuk dengan telefon tetapi tangan lelaki itu merayap di paha, saya tepis, namun tidak dapat melawan. Syukur tidak lama kemudian pasukan peronda tiba,” katanya.
Maisarah juga cuba untuk memaklumkan kepada petugas peronda lebuhraya mengenai kejadian berkenaan, namun lelaki itu menghalangnya beberapa kali.
Ketakutan Maisarah juga tidak terhenti di situ apabila lelaki berkenaan enggan beredar walaupun selepas petugas peronda selesai menukar tayar keretanya.
“Saya segera masuk dalam kereta tetapi lelaki itu masuk sekali, dia bertindak lebih ganas dengan menarik lengan saya dan cuba mencium saya malah membuka butang baju kemeja saya di bahagian atas.
"Ketika itu dalam keadaan yang meronta-ronta saya menjerit sekuat hati menyuruh dia keluar.
“Apabila saya jerit begitu, lelaki itu terus berhenti tetapi minta dicium jika mahu dia keluar, saya bertambah marah dan sekali lagi menjerit ke arahnya sebelum dia keluar,” cerita Maisarah lagi.
Sebelum beredar, Maisarah sempat menjerit kepada lelaki itu mempersoalkan keikhlasannya untuk menolong menukar tayar kereta.
“Saya jerit cakap ingatkan ikhlas nak tolong tukar tayar kalau ikhlas kenapa nak kena raba-raba?! Lelaki itu membalas ‘iyalah, sayakan lelaki’,” katanya. lagi
Maisarah kemudian bergegas ke balai polis Sungai Buloh untuk membuat laporan mengenai kejadian yang dialaminya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian tersebut.
“Polis sedang memburu suspek dan orang ramai yang mempunyai maklumat, diminta tampil ke balai polis berhampiran,” katanya ketika dihubungi.
#Glenmarie
#latar
#Lebuhraya Kuala Lumpur - Kuala Selangor
#mangsa cabul
#meraba
#Rawang
#shah alam
#tukar tayar kereta