'Konon hendak beli rantai emas untuk ibu'

Sinar Harian
September 5, 2024 14:30 MYT
Polis mencari lelaki ini dipercayai melarikan rantai emas dalam kejadian di Bandar Botanik, Klang, pada Selasa. -Sinar Harian
KLANG:

Ringkasan AI
  • Seorang lelaki tempatan melarikan diri dengan rantai emas bernilai RM24,800 dari sebuah kedai di Bandar Botanik, Klang, selepas berpura-pura hendak membelinya sebagai hadiah untuk ibunya.
  • Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong, menyatakan bahawa suspek melarikan diri menaiki motosikal yang diletakkan di depan kedai.
  • Polis telah mengenal pasti suspek berusia 28 tahun dan sedang menjalankan siasatan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan, serta menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat untuk membantu siasatan.

Seorang pelanggan berpura-pura hendak membeli rantai emas sebelum melarikan diri dengan barang kemas itu di Bandar Botanik, di sini, pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1.40 tengah hari.
Menurutnya, suspek merupakan lelaki tempatan yang masuk ke dalam premis untuk mencari dan membeli rantai emas bagi pemberian hadiah kepada ibunya.
"Pekerja premis telah mengeluarkan dan menunjukkan satu rantai leher bernilai RM24,800 yang dipilih oleh suspek.
"Kemudian suspek telah keluar dari kedai untuk bercakap di telefon bimbitnya sebelum masuk kembali dalam premis.
"Bagaimanapun suspek telah melarikan diri menaiki motosikal yang diletakkan di depan kedai," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, satu laporan mengenai kejadian itu telah diterima Balai Polis Klang pada hari yang sama oleh jurujual wanita berusia 25 tahun.
Tambah Hoong Fong, berdasarkan maklumat, polis telah mengenal pasti suspek berusia 28 tahun dan usaha mengesannya sedang dijalankan.
"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan," ujarnya.
Tegasnya, polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes ini untuk hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-33762222 bagi membantu siasatan. -Sinar Harian
#rantai emas #hadiah buat ibu #bandar botanik #Balai Polis Klang