Kongsi maklumat bagi memastikan vaksin selamat
Astro Awani
Januari 5, 2021 06:00 MYT
Januari 5, 2021 06:00 MYT
KUALA LUMPUR: Isu keberkesanan vaksin COVID-19 hangat dibincangkan dengan mekanisme penghasilannya turut mendapat tumpuan pelbagai pihak.
Menurut Rektor Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Profesor Tan Sri Dr Dzulkifli Abdul Razak, selain aspek halal, perkongsian maklumat kandungan vaksin yang bakal digunakan di negara ini adalah perlu dalam memastikan ia selamat.
“Tetapi dalam keadaan seadanya, yang saya tahu, hari ini tidak ada orang membuat vaksin yang bermula dengan dia halal atau tidak.
“Merata-rata cuba mencari penyelesaian seperti mana yang dikatakan.
“Sama ada dari cara ortodoks atau cara tradisional, untuk mencari penyelesaian perlindungan sama ada dia halal atau tidak, terjatuh pada nombor dua,” katanya ketika sesi Wacana Sinar Harian bertajuk 'COVID-19: Suci dan Selamatkah?' pada Selasa.
Jelasnya lagi, kerajaan memainkan peranan penting berkongsi maklumat yang lebih spesifik, termasuk kandungannya sebelum vaksin COVID-19 selamat untuk diedarkan kepada rakyat.
“Jadi persoalan ini, kita mesti ada maklumat-maklumat yang tertentu... mencari maklumat-maklumat.
“Ini adalah salah satu daripada isu pokok untuk menentukan sama ada dia selamat atau pun tidak, dalam kerja untuk mengimbangi ini ialah melihat kepada data dan data itu mestilah data saintifik, yang berasaskan bukti,” ujarnya.
Sementara itu, bagi Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainal Abidin, keutamaan dalam tempoh pandemik ini adalah mencari penyelesaian terlebih dahulu.
“Kegagalan ini kita sentiasa mengharapkan untuk menggunakan barang orang, lepas itu kita akan complaint (merungut), tetapi kita sendiri tidak keluarkan produk itu.
"Itu kelemahan dunia Islam,” katanya.
#vaksin
#COVID-19
#Mufti Perlis
#Dr Mohd Asri Zainal Abidin
#Wacana Sinar Harian
#Halal
#Dr Dzulkifli Abdul Razak