Kongsi keputusan UPSR di pusara ibu, ini penjelasan nenek tentang kerinduan Nur Aqilah

Astro Awani
November 22, 2019 16:12 MYT
Aksi Nur Aqilah Afiah Mohamad Firdaus membuka dan membaca keputusan UPSR di pusara ibunya menjadi tular sejak Khamis. - Media sosial
"Dua tahun lepas, cucu saya kehilangan ibunya dan saya hanya mahu menggembirakan cucu dengan mengabadikan kenangannya membuka kertas keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di pusara ibunya."
Demikian luahan Aishah Mat Akat, 64 tahun, selepas kisah cucu perempuannya, Nur Aqilah Afiah Mohamad Firdaus, 12, tular dilaman sosial sejak Khamis.
Aishah memuat naik foto Nur Aqilah yang menangis apabila tidak dapat berkongsikan keputusan kepada arwah ibunya yang telah meninggal dunia dua tahun lalu, selepas melahirkan adik bongsunya.
Jelas Aishah yang merupakan bekas guru, cucunya itu memang berhasrat untuk ke pusara ibunya apabila mendapat keputusan UPSR dan dia hanya memenuhi permintaan cucunya itu memandangkan jarak sekolah dan tanah perkuburan tidak jauh.
Ujarnya walaupun keputusan diperolehi Nuraqilah tidak seberapa namun dia tetap bangga dengan pencapaian cucunya itu.
"Memang saya nak bagi dia semangat. (Walau) keputusan tidak sehebat mana tapi saya nak bagi dia semangat supaya lepas ni dia akan buat lebih baik.
"Masa depan panjang lagi. (Saya) nak dia janji depan Mama, akan bercerita dekat Mama yang dia tidak akan putus asa. (Ibunya) meninggal baru dua tahun lalu. Masa Mamanya meninggal tu, dia dah faham soal kasih sayang seorang emak," ujar Aishah.
Menurut Aishah, Nur Aqilah anak sulung daripada tiga beradik yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Tok Kandu.
Sementara itu, Nur Aqilah berkata, dia pada mulanya berasa malu selepas kisahnya tular dan menjadi bualan oleh rakan-rakan serta gurunya di sekolah.
"Rasa macam malu sikit, ramai orang tanya, first time jadi viral. Terima kasih dekat semua yang bagi support dekat saya," kata Nur Aqilah.
Nur Aqilah berkata, walaupun keputusan UPSR yang diperoleh tidak cemerlang tetapi baginya ini adalah permulaan untuk dirinya lebih baik pada masa akan datang.
#aishah mat akat #kasih sayang #keputusan upsr #Nur Aqilah Afiah Mohamad Firdaus #pendidikan #pusara ibu #UPSR #viral
;