Kongsi gelap: 'Datuk' dan 'Datuk Seri' jadi dalang pengubahan wang haram

Harits Asyraf Hasnan
Februari 10, 2017 19:36 MYT
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh (dua,kiri) menunjukkan raifal yang dirampas dalam Ops Cantas Khas Jenayah Terancang pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, 8 Februari lalu. - Foto BERNAMA
Taktik seorang lelaki berpangkat 'Datuk' yang menubuhkan kongsi gelap sebelum menubuhkan syarikat akhirnya terbongkar.
Modus operandi itu dikenal pasti polis susulan penangkapan beberapa kenamaan bergelar 'Datuk' dan 'Datuk Seri' yang berselindung disebalik kumpulan haram itu.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, syarikat yang ditubuhkan itu bertujuan menjalankan aktiviti pengubahan wang haram.
"Dalam mana-mana kumpulan terancang, pertama sekali mereka mulakan kegiatan jenayah mereka.
"Apabila mereka telah dapat mengumpulkan wang dan sebagainya, mereka akan memulakan perniagaan dan di situ mereka akan melakukan pengubahan wang haram," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini hari ini.
Tambah beliau, polis kini sedang melihat semua aspek pelaburan oleh individu terlibat termasuk aktiviti jual beli senjata api.
Katanya, kertas siasatan pula akan disiapkan dalam tempoh dua hingga tiga minggu sebelum individu-individu kenamaan terbabit di dakwa di mahkamah.
Sepanjang dua tahun lalu, polis telah menahan 114 ahli kongsi gelap berusia antara 19 hingga 62 tahun, terbabit dalam puluhan kes pembunuhan, penculikan, pemerasan, ugutan, pengedaran dadah, samun dan mendatangkan kecederaan.
#berpangkat Datuk #kongsi gelap #pengubahan wang haram
;