Kongres Bersih: Kerajaan dituntut segerakan reformasi institusi, hapus Akta Hasutan
Astro Awani
Mei 25, 2024 18:10 MYT
Mei 25, 2024 18:10 MYT
KUALA LUMPUR: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) sekali menggesa kerajaan mempercepatkan reformasi institusi termasuk memisahkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya selain melaksanakan pelantikan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melalui Parlimen.
Pengerusinya, Muhammad Faisal Abdul Aziz juga menuntut kerajaan untuk melaksanakan segera agenda reformasi yang dijanjikan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pada masa sama, beliau juga khuatir janj-janji yang ditaburkan pada PRU15 tidak dapat dilaksana sehingga tamat penggal pemerintahan memandangkan ahli-ahli politik akan mula sibuk dengan siri pilihan raya melibatkan Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor bermula tahun depan.
"Kerajaan harus ada perancangan, setidaknya berkaitan pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya (supaya) ada perancangan sepertimana Akta Parlimen yang sudah ada pergerakan.
"Sebelum ini senario politik semasa dijadikan alasan tidak melaksanakan reformasi, terutama apabila melibatkan beberapa cubaan menjatuhkan kerajaan selain kesibukan pemimpin membuat persiapan pilihan raya di enam negeri.
"Kita tidak mahu dalam tempoh empat tahun, akhirnya agenda reformasi ini akan diketepikan atau dilihat tidak penting... mandat ini akan berkubur tanpa sebarang perubahan," katanya pada Kongres Bersih 2024, di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Muhammad Faisal berkata, Malaysia berada di antara persimpangan yang akan menentukan hala tuju reformasinya sama ada 'reformasi sejati' ke arah pendemokrasian dan dasar tatakelola yang lebih baik, atau meniti jalan 'reformasi dikorupsi' apabila agenda reformasi ini dikuburkan.
Katanya, tahun 2024 dan 2025 adalah kritikal dalam mencoret hala tuju pendemokrasian negara.
Dalam kongres sama bekas Pengerusi Bersih, Datuk Ambiga Sreenevasan mempersoalkan kewajaran Akta Hasutan 1948 kerana ia tidak lagi relevan dan tidak bersesuaian dengan demokrasi negara.
Beliau turut menempelak kepimpinan Pakatan Harapan (PH) yang sebelum ini dilihat bertubi-tubi mendesak kerajaan terdahulu untuk menghapuskan akta tersebut, namun selepas menjadi kerajaan mereka seolah-olah lupa.
"Kenapa kita masih memerlukan Akta Hasutan 1948. Kita mendesak kerajaan untuk menghapuskan akta itu untuk tempoh yang agak lama.
"Kerajaan semasa ini yang memperjuangkan untuk menghapuskan akta itu, ya kepimpinan kerajaan ini yang memperjuangkan isu ini untuk tempoh yang lama.
"Namun apa yang saya sedar, bila kamu tidak berkuasa, kamu tidak suka Akta Hasutan itu. Tapi bila mendapat kuasa, mereka suka akta itu. Kenapa?
"Saya tak faham. Sebab itu kita memerlukan kepimpinan yang mendengar suara rakyat. Akta itu tidak sesuai dengan kita, negara ini sepatutnya bersifat demokrasi. Akta Hasutan perlu dihapuskan," katanya.