Konflik Rusia-Ukraine: ‘Selesai dengan cara rundingan’, kata Anwar kepada Putin

Firdaus Azil
September 5, 2024 12:50 MYT
Perdana Menteri berkata, konflik kedua-dua negara itu, jika dibiarkan berlarutan, sudah pasti akan terus memberi kesan kepada ekonomi dunia, termasuk Malaysia yang mengamalkan polisi perdagangan terbuka. - Gambar/ Fath Rizal/ PMO
VLADIVOSTOK: Konflik antara Rusia dan Ukraine perlu dihentikan segera, dan perlu diselesaikan dengan cara rundingan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, perkara itu telah disampaikan terus kepada Presiden Rusia Vladimir Putin, sewaktu mesyuarat dua hala antara delegasi Rusia dan Malaysia, serta sesi makan malam pada Rabu, sempena Forum Ekonomi Timur (EEF) di sini.
Perdana Menteri berkata, konflik kedua-dua negara itu, jika dibiarkan berlarutan, sudah pasti akan terus memberi kesan kepada ekonomi dunia, termasuk Malaysia yang mengamalkan polisi perdagangan terbuka.
“Di peringkat antarabangsa, tentu kita juga sentuh soal Ukraine, dan kita gesa ada kesediaan antara kedua-dua untuk mengadakan rundingan bagi menyelesaikan masalah ini.
“Ini kerana (jika dibiarkan berlarutan), kesan sampingan itu akan timbul kepada soal kenaikan harga barangan, kos sara hidup... jika berlanjutan, yang sudah tentu akan membebankan pihak yang terkait. Jadi perkara itu saya sampaikan sendiri kepada Putin,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian kepada media Malaysia bagi merumuskan lawatan kerja dua hari beliau ke sini, di atas jemputan Presiden Rusia sempena EEF kesembilan anjuran Yayasan Roscongress.
Dalam pada itu Perdana Menteri berkata, beliau dan Putin juga bersepakat tentang isu penindasan rejim Zionis ke atas Palestin, dan menuntut agar serangan ganas serta zalim ke atas Gaza dihentikan dengan segera.
“Dan kita juga lahirkan rasa kesal kerana keengganan negara-negara utama terutama Amerika Syarikat (AS) untuk menetapkan sikap yang lebih tegas, walaupun kenyataan terakhir AS lebih memberangsangkan, dan nampak lebih tegas.
“Tetapi kalau minta (kononnya Israel hentikan serangan) tanpa ada tindakan… kemudian minta berhentikan (serangan), (tetapi pada masa yang sama) peruntukkan AS$20 bilion untuk (Israel) beli senjata tambahan, ada masalah sedikit di situ,” katanya lagi.
Dalam pada itu Perdana Menteri berkata, pertemuan dua hala itu dimanfaatkan sepenuhnya untuk meningkatkan hubungan perdagangan dan kerajaan dengan kerajaan (G2G), termasuk aeroangkasa dan teknologi lanjutan, peralihan tenaga, dan pertanian.
“Kemudian (kita bincang) bidang seperti sains dan teknologi, aeroangkasa, peralihan tenaga yang kita bicarakan, semua kita bincang dengan lebih luas.
“Kemudian dalam bidang pertanian, kerana kita memberi fokus dan kita lihat Rusia sepanjang lima tahun kebelakangan ini telah menyaksikan peningkatan menakjubkan dalam bidang hasil pertanian.
“Kita tentunya boleh perolehi manfaat selain (kita berkongsi) tentang industri halal... Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk pensijilan, yang saya bincang dengan Timbalan Pengerusi Majlis Mufti Rusia sebelum ini selain soal dakwah pembinaan masjid lebih banyak di Rusia bawah pentadbiran Putin. Kita juga bincang soal halal, kegiatan ekonomi dan pendidikan,” katanya lagi.
Selain itu Perdana Menteri berkata, beliau juga berharap agar sektor pelancongan dapat ditingkatkan lagi, khususnya bagi menarik lebih ramai pelancong Rusia ke Malaysia.
Beliau berkata, di sebalik sekatan ekonomi yang dikenakan oleh kuasa-kuasa besar ke atas Rusia, Malaysia bersedia untuk mencari jalan bagi memudahkan inisiatif pelancongan tersebut, termasuk penyelesaian dalam sudut penerbangan.
#konflik Rusia-Ukraine #Perdana Menteri #Anwar Ibrahim #Vladimir Putin
;