KONFLIK PR : Azizah masih belum bincang hati ke hati dengan pemimpin PR yang lain

Mariah Ahmad
Mei 26, 2015 18:33 MYT
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata pihaknya masih belum bincang hati ke hati bersama pemimpin PR yang lain.
Berikutan kemelut yang semakin melarat antara pemimpin Pakatan Rakyat (PR), Ketua Pembangkang, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata pihaknya masih belum bincang hati ke hati bersama pemimpin PR yang lain.
Menurut beliau, ketiga-tiga parti ketika ini melihat keadaan sekarang sebagai tempoh bertenang.
"Melihat kepada keadaan sekarang, Kita ada cooling off period, iaitu untuk ketiga- tiga (DAP, PAS dan PKR," kata Azizah kepada pemberita Lobi Parlimen hari ini.
Apabila ditanya adakah ini keadaan kritikal bagi kerajaan Selangor, beliau berkata perkara ini masih boleh dibincang lagi.
"Perkara ini boleh dibincang lagi. Saya rasa kerajaan Selangor boleh kekal lagi.
"Walaupun kita mempunyai kelainan namun kami masih lagi berpegang kepada prinsip bahawa kita adalah kerajaan yang memerintah Selangor," ujar Azizah.
Sebelum ini , Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dilaporkan sebagai berkata kabinet bayangan PR yang dicadang Azizah adalah tidak praktikal, justeru DAP memilih untuk menubuhkan kabinet bayangan sendiri dengan mengumumkan senarai 18 portfolio yang akan diisi anggota Parlimen parti itu.
Berikutan tindakan DAP itu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Jumaat lalu menegaskan partinya bersedia untuk menamatkan kerjasama dengan DAP.
Abdul Hadi berkata kesediaan menamatkan kerjasama itu dibuat ekoran kenyataan serta tindak-tanduk pemimpin DAP yang mahu membentuk Kabinet bayangan tanpa penglibatan PAS dan PKR.
#DAP #Pakatan Rakyat #PAS #PKR #PR #Wan Azizah Ismail
;