Konflik Perairan: Malaysia harus ambil peluang bangunkan kod tatakelola sendiri - Pakar

Azyyati Ahmad
September 9, 2024 11:15 MYT
Kata Noor Nirwandy, perkara ini perlu dibawa dalam mesyuarat Asean pada tahun hadapan, bagi memberi jaminan jelas bahawa takkan ada campur tangan ketenteraan.
KUALA LUMPUR: Malaysia harus ambil peluang untuk mempercepatkan perbincangan kod tatakelola yang telah pun dibangkitkan selama berbelas-belas tahun di peringkat ASEAN dalam pengurusan Laut Cina Selatan khususnya pengurusan yang tidak melibatkan elemen ketenteraan.
Menurut Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Noor Nirwandy Mat Noordin, ini adalah bagi memastikan pengurusan pertindihan tuntutan di antara negara-negara ASEAN dengan China diadakan secara diplomasi bersama dengan ASEAN tanpa melibatkan konflik ketenteraan seperti yang berlaku di perairan Filipina.
Kata Noor Nirwandy, perkara ini perlu dibawa dalam mesyuarat ASEAN pada tahun hadapan, bagi memberi jaminan jelas bahawa takkan ada campur tangan ketenteraan.
“Malaysia harus mengambil peluang untuk mempercepatkan kod tatakelola yang telah diperbincangkan selama berbelas-belas tahun terutamanya yang melibatkan isu yang tidak melibatkan element ketenteraan yang merupakan aras tanda yang perlu dilihat, yang perlu dilakukan sebagai diplomasi kebersamaan dalam ASEAN.
“Saya rasa ia perlu dibawa dalam mesyuarat ASEAN tahun hadapan, walaupun ia agak lewat tapi ia masih penting bagi memberi jaminan jelas bahawa tidak akan ada penggunaan kuasa ketenteraan digunakan di mana-mana negara ASEAN dan seperti yang berlaku di antara China dan Filipina,” jelasnya.
Noor Nirwandy juga mencadangkan agar Malaysia membina kod tatakelola berasingan dalam isu pertindihan ini yang lebih mengikat terutama yang melibatkan operasi ketenteraan.
“Sekiranya ia berjaya dipersetujui, maka Malaysia akan menjadi negara ASEAN pertama yang terlibat secara langsung dengan konflik pertindihan pengairan dengan China, ini adalah satu cadangan bagi mengikat satu bentuk persefahaman diplomasi antarabangsa supaya tidak ada elemen-elemen ketenteraan, elemen berbentuk fizikal, elemen yang mencetuskan perseteruan konflik jangka masa panjang atau apa-apa bentuk perselisihan kod tatakelola yang boleh diselaraskan dalam peringkat antarabangsa,” katanya lagi.
AWANI Pagi: Konflik Perairan: Apa Masa Depan Malaysia-China?
Beliau bercakap demikian bagi mengulas isu kebocoran nota diplomatik yang dihantar Beijing kepada Malaysia bagi menyuarakan bantahan terhadap operasi syarikat Petronas di perairan Laut China Selatan.
Ketika ini, Kementerian Luar Malaysia sedang menjalankan siasatan dalaman dan akan membuat laporan polis berhubung kebocoran Nota Diplomatik daripada Kementerian Luar China kepada Kedutaan Besar Malaysia di Beijing pada Februari lepas.
#Laut China Selatan #Petronas #Diplomatic #ASEAN
;