Konflik kepentingan: Segerakan pemisahan peranan Peguam Negara - MUDA
Astro Awani
Mac 28, 2023 12:10 MYT
Mac 28, 2023 12:10 MYT
KUALA LUMPUR: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menggesa supaya pemisahan peranan Peguam Negara sebagai penasihat undang-undang dan pendakwa raya dilaksanakan dengan segera.
Dalam satu kenyataan bersama oleh Timbalan Presiden, Amira Aisya Abdul Aziz dan Naib Presiden, Lim Wei Jiet, mereka berkata hasrat itu adalah seiring manifesto yang ditawarkan oleh dua gabungan parti terbesar dalam Kerajaan Perpaduan ketika ini.
Kenyataan itu dibuat susulan tindakan pihak pendakwaan dari Jabatan Peguam Negara yang tidak membantah permohonan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi diberikan semula pasportnya oleh mahkamah.
Ujar mereka, ini telah menimbulkan persepsi bahawa terdapat campur tangan terhadap pihak Jabatan Peguam Negara untuk mengambil keputusan yang memanfaatkan seorang Menteri Kerajaan.
"Peguam Negara kini memainkan dua peranan yang meletakkan beliau dalam konflik kepentingan. Pertama, menjadi ketua penasihat undang-undang kepada Kerajaan dan menteri-menterinya.
"Kedua, menjadi pendakwa raya yang berkuasa mendakwa dan menggugurkan pendakwaan terhadap mana-mana pihak, termasuk terhadap Menteri-Menteri Kerajaan.
"Untuk mengelak konflik kepentingan dan mengelak persepsi campur tangan Kerajaan dalam segala keputusan Jabatan Peguam Negara, ia adalah penting untuk memisahkan peranan Peguam Negara sebagai penasihat undang-undang Kerajaan dan pendakwa raya," katanya.
Jelas mereka, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, turut menyuarakan sokongan konsisten bagi melaksanakan pemisahan peranan ini.
Semalam, Mahkamah Rayuan membenarkan Ahmad Zahid mendapatkan semula pasportnya bagi membolehkan beliau melakukan perjalanan antarabangsa untuk menghadiri sebarang majlis rasmi.
Panel tiga orang hakim yang dipengerusikan oleh Hanipah Farikullah sebulat suara membenarkan permohonan baharu dibuat Timbalan Perdana Menteri itu.
Dua lagi hakim yang bersidang untuk mendengar permohonan tersebut ialah Ahmad Zaidi Ibrahim dan Lim Chong Fong.
Keputusan itu dibuat selepas Timbalan Pendakwa, Raya Abdul Malik Ayob berkata, dia diarahkan untuk tidak mengemukakan sebarang bantahan terhadap permohonan dibuat Ahmad Zahid.
#muda
#pasport Ahmad Zahid
#pemisahan peranan Peguam Negara
#penasihat undang-undang dan pendakwa raya